JPJ laksana 3 operasi khas sempena musim perayaan - Lokman

Iklan
Lokman (tiga dari kanan) melihat kerja-kerja pemeriksaan berat kenderaan lori dengan muatan yang dibawa sempena Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2024 di Rehat & Rawat Pandan pada Selasa. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan tiga operasi khas menjelang sambutan Aidil Fitri bermula 1 hingga 20 April ini bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya semasa musim perayaan.

Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi pertama membabitkan larangan kenderaan perdagangan untuk berada di jalan raya dua hari sebelum dan dua hari selepas raya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain mahu mengelak risiko kemalangan maut, larangan tersebut bertujuan memastikan kelancaran serta tidak mengganggu lalu lintas semasa musim perayaan nanti.

Jelas beliau, kenderaan terbabit yang tidak diselenggara dengan baik selain berlaku kerosakan dilihat menjadi antara punca kemalangan maut berlaku.

Lokman semasa program Selamat Pagi Malaysia yang membincangkan tajuk 'Keselamatan Jalan Raya, Tanggungjawab Bersama' pada Rabu.

Iklan

"Malah menjadi satu kesalahan sekiranya kenderaan perdagangan tersebut tidak diselenggara dengan baik," katanya pada temu bual program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di RTM bertajuk Hari Raya Aidilfitri - Keselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Bersama pada Rabu.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, operasi khas kedua yang dilaksanakan membabitkan penunggang motosikal di seluruh negara yang merupakan penyumbang utama kepada kemalangan maut terutama pada musim perayaan.

Iklan

Beliau berkata, sebanyak 70 peratus kemalangan maut disumbangkan oleh penunggang motosikal dengan kadar satu kemalangan maut bagi setiap dua jam.

"Jadi kita sarankan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam untuk pulang beraya di kampung halaman.

"Kita juga telah melakukan pemeriksaan kenderaan pengangkutan awam di 54 buah depoh di seluruh negara, selain berada di 28 buah terminal bas bagi tujuan pemeriksaan buku log pemandu, memeriksa sistem brek serta memastikan pemandu kedua disediakan," katanya.

Bagi operasi khas ketiga pula, Lokman berkata, pihak JPJ juga akan memastikan tiada pengguna jalan raya melakukan kesalahan utama seperti menggunakan telefon pintar semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar serta tidak memotong barisan.

Untuk itu tegas beliau, pihaknya akan melakukan rondaan bermotosikal dan menggerakkan unit peronda lebuh raya di kawasan-kawasan tertentu.

"Selain itu, JPJ juga ingin meminta orang ramai untuk melaporkan sebarang kesalahan jalan raya dengan menggunakan aplikasi MyJPJ.

"Kita akan mengambil tindakan segera atau sekurang-kurangnya tiga hari pada aduan diterima bagi menghantar notis kepada pesalah jalan raya," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!