UMAT Islam dinasihatkan agar menjauhi telefon pintar pada malam-malam akhir Ramadan dalam usaha untuk mendapatkan lailatulqadar.
Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Ustaz Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, ini kerana banyak gangguan daripada gajet tersebut yang boleh menyebabkan hilang fokus untuk beribadah.
"Pertama, jangan pegang telefon, ‘syaitan’ (gangguan) banyak dalam tu.
"Jadi, telefon kena kawal sebab kalau tidak kawal, kita terbabas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Sembang Ramadan Tanya Je Ustaz! yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Tambah beliau yang lebih dikenali dengan gelaran PU Hafiz, perkara kedua yang perlu dilakukan oleh golongan yang sibuk atau frontliner ialah berniat untuk melakukan ibadah pada malam-malam akhir Ramadan.
"Mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah, apabila sudah berniat beribadah dan melakukannya, ALLAH akan gandakan pahala sebanyak 10 kali ganda.
Selain itu katanya, golongan ini juga boleh berzikir seperti tasbih, tahmid dan sebagainya sambil melakukan kerja.
"Kalau dapat ‘lari’ sekejap, boleh solat dua rakaat. ALLAH menjadikan bumi ini sebagai tempat sujud, di mana-mana pun boleh solat asalkan bersih.
"Bawa sejadah jika perlu. Jadi, tiada alasan (untuk melakukan ibadah),” katanya.