BUTTERWORTH - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap tujuh pertuduhan menipu seorang lelaki melibatkan kerugian berjumlah RM580,000.
Ahmad Kamal Akbar Ramin@ Abd Rahim, 54 membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani selepas pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asma' 'Amira Shahidani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu Ibrahim Romli dengan memperdayakannya untuk mempercayai tertuduh akan memberikan keuntungan di atas pelaburan satu projek perumahan rakyat (PPR) berbilang tingkat yang tidak wujud di Mukim Kuantan.
Selain itu, tertuduh juga didakwa dengan pertuduhan iaitu memperdaya orang yang sama untuk mempercayainya akan memberi keuntungan di atas pelaburan satu projek perumahan 71 unit rumah kedai yang tidak wujud di Golf Garden, Jawi.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan cek berjumlah antara RM50,000 hingga RM100,00 di atas nama tertuduh seperti diarahkan, yang mana, mangsa tidak akan menyerahkan cek berkenaan sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Ahmad Kamal didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Perniagaan Tasek Gelugor, Tasek Gelugor antara 8 hingga 24 September 2018, lingkungan jam 12.30 tengah hari hingga 2.20 petang.
Asma' 'Amira menawarkan wang jaminan RM70,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ima Syakira Mohd Salim memohon mahkamah memberi jaminan yang minimum berikutan tertuduh telah diisytihar bankrap.
"Orang kena tuduh (OKT) berusia 54 tahun, bekerja sendiri dan berpendatapan tidak tetap. Dia mempunyai 10 orang anak yang mana, lima daripadanya masih bersekolah dan dua anak yang masih kecil, berusia setahun dan tiga tahun.
"OKT juga perlu menanggung isterinya yang tidak bekerja selain dia telah diisytihar bankrap. Oleh demikian, saya mohon mahkamah memberi jaminan yang paling kurang untuknya," katanya.
Siti Zulaikha kemudiannya memberi jaminan RM56,000 dengan seorang penjamin bagi ketujuh-tujuh pertuduhan terhadap tertuduh.
Kes ditangguh sehingga 26 Jun ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.