KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 960,000 batang rokok seludup dipercayai untuk pasaran Aidilfitri dalam serbuan di pangkalan haram Kampung Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini pada Isnin.
Serbuan jam 5 pagi semasa umat Islam sedang bersahur itu melibatkan rampasan bernilai RM105,600 dan anggaran cukai sebanyak RM644,160 yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran menggunakan bot.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, kejayaan itu hasil maklumat dan intipan yang dilakukan oleh pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu.
"Sejurus tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati sekumpulan lelaki sedang leka memunggah rokok-rokok tersebut dari bot ke dalam kenderaan.
"Menyedari kehadiran anggota bertugas, kesemua lelaki terbabit terus melarikan diri bagi mengelakkan dicekup," katanya semasa sidang akhar di sini pada Rabu.
Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan, rokok terbabit dibawa dari tengah laut dan kemudian menggunakan bot persendirian untuk dihantar ke pesisir pantai.
Ujarnya, barangan tersebut kemudian akan diangkut menggunakan kenderaan untuk dipasarkan.
Wan Jamal Abdul Salam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1976.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28