'Ambil kesempatan jual beribu al-Quran tiada kelulusan pada Ramadan'

Iklan
Nik Yusaimi menunjukkan antara al-Quran yang dirampas KDN menerusi Op Mulia sepanjang Mac lalu.

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 6,962 naskah al-Quran yang tiada perakuan bernilai RM2.8 juta di seluruh negara, sepanjang Mac lalu.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, Op Mulia itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN di 1,082 premis dan bertindak menahan 164 individu terdiri di kalangan warga tempatan dan asing.

Bingkas hiasan mengandungi ayat al-Quran yang dirampas KDN menerusi Op Mulia di seluruh negara, Mac lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati peranan individu yang ditahan dipercayai sebagai penjual, pengedar, pembungkus serta penjilid.

"Selain itu, rampasan babit barang hiasan atau peralatan audio yang mengandungi ayat suci al-Quran juga ada yang diimport dari luar negara termasuk China," katanya dalam sidang akhbar di KDN di sini pada Rabu.

Pelekat hologram KDN bagi memastikan al-Quran yang diedar dan dijual mempunyai kelulusan sah.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan rampasan dibuat, al-Quran paling mahal tanpa perakuan ini bernilai RM599, manakala barang hiasan bingkai bernilai RM5,290.

Tambah Nik Yusaimi, operasi ini dilaksanakan selepas mengesan permintaan terhadap pencetakan, penjualan dan pengedaran al-Quran dan bahan al-Quran sempena Ramadan sangat tinggi.

Iklan

"Ini mendorong pengusaha, penjual atau pengedar mengambil kesempatan dengan tidak mematuhi Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Pindaan 2023), menawarkan pelbagai pilihan al-Quran yang tiada perakuan dan mempunyai pelbagai kesalahan," ujarnya.

Cap perakuan bagi memastikan al-Quran yang diedar dan dijual mempunyai kelulusan sah KDN.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, menerusi program Jom Exchange Al-Quran yang dijalankan KDN, sebanyak 6,484 naskah al-Quran tiada perakuan bernilai RM260,000 diserahkan oleh masyarakat.

"Kita seru masyarakat atau mana-mana pihak tampil kepada kita bagu serahkan al-Quran tanpa perakuan secara sukarela dan akan digantikan dengan al-Quran baharu secara percuma yang mempunyai perakuan," ujarnya.

Tegasnya, sehingga kini, 965 jenis terbitan al-Quran telah diluluskan KDN sama ada untuk dijual, dimiliki atau diedar.

"Oleh itu, masyarakat diseru agar memastikan al-Quran yang dipilih mempunyai cap perakuan dan pelekat hologram KDN," katanya.

Ujar beliau, KDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penjualan al-Quran atau bahan al-Quran yang menyalahi akta terbabit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28