IPOH - Menyahut inisiatif Payung Rahmah, penyanyi Datuk Jamal Abdillah akan menjual hasil perusahaan ternakan lembunya pada Jualan Rahmah Jamal Abdillah Farm, selama dua hari bermula Ahad ini.
Pemilik nama sebenar, Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 64, itu berkata, sejumlah 12 ekor lembu akan disediakan dan akan menambah bilangan lembu sekiranya tidak mencukupi.
"Di samping bersedekah dan juga menyahut seruan kerajaan untuk inisiatif Payung Rahmah, saya juga ingin memperkenalkan dan melancarkan syarikat Jamal Abdillah Farm untuk orang ramai tahu saya ada perusahaan lembu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir itu berkata, beliau merancang untuk membesarkan lagi ladang ternakan lembunya di Bukit Merah, Kerian pada masa hadapan.
"Selepas ini, rancangan saya untuk membesarkan lagi ladang saya ini, sekurang-kurangnya dapat menampung pasaran atau untuk keterjaminan makanan agar tidak ada isu kekurangan makanan," kata Jamal.
Jualan Rahmah Jamal Abdillah Farm dengan usaha sama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bakal berlangsung pada 7 dan 8 April ini bermula jam 9 pagi di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini yang menawarkan harga daging lembu di bawah harga pasaran.
Daging pejal dijual pada harga RM32 sekilogram (kg), manakala daging batang pinang (RM39/kg), tulang (RM26/kg), tulang rusuk (RM32/kg), organ (RM16/kg), kepala lembu (RM60/unit) dan gear box (RM10/unit).
Sebelum ini, dilaporkan Jamal mula berjinak-jinak dalam bidang ternakan lembu secara komersial sejak Mei tahun lepas di samping beliau berimpian mahu mempromosi bidang pertanian agar lebih ramai bumiputera terlibat dalam bidang itu.
Ladang ternakan lembunya seluas hampir dua hektar terletak di Bukit Merah dan dilengkapi dengan kandang lembu yang boleh memuatkan 300 hingga 400 ekor haiwan itu serta kawasan untuk menternak kambing yang juga dalam perancangannya. - Bernama