Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha terbabit menerusi kerjasama dengan Koperasi Vanila Berhad Temerloh.
Menurutnya, Angkasa akan membantu untuk memperluaskan industri itu untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap tanaman berkenaan.
"Angkasa melihat tanaman ini yang berpotensi dan memberikan pulangan tinggi sekali gus membantu serta dapat mengembangkan lagi perniagaan ahli gerakan koperasi.
"Kita akan membantu dengan mengetuai perbincangan dengan pihak-pihak yang berminat dengan koperasi ini selain melihat bantuan yang boleh didapati kerana tanaman vanila memerlukan kos tinggi.
Beliau yang juga Presiden ASEAN Co-Operative Organization ( ACO) berkata sedemikian selepas majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan untuk asnaf oleh Angkasa Zon II Pahang Tengah di Amani Vanila Temerloh di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengerusi Angkasa Pahang Zon II Pahang Tengah, Mohamad Hanifah BK Koya Moideen Kutty dan Pengerusi Koperasi Vanila Berhad Temerloh, Mohamad Feisal Mohd Norawi.
Ujar Abdul Fattah lagi, untuk jangka panjang, Angkasa akan terlibat secara langsung dengan koperasi terbabit.
"Angkasa Pahang Tengah kena memiliki satu kawasan sebagai projek ladang perintis atau plot percubaan bagi tujuan lawatan dan latihan.
"Kita juga berminat untuk memohon kepada kerajaan negeri bagi membantu mendapatkan tanah sesuai," jelasnya.
Sementara itu, Mohamad Feisal memberitahu, koperasi itu telah memiliki ahli hampir 100 orang sejak ia ditubuhkan pada 2020 dengan enam produk berjaya dihasilkan setakat ini.
Tambahnya, ketika ini harga vanila mentah mencecah RM1,200 sekilogram di pasaran.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28