KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, untuk mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya dia menjalani baki hukuman penjara enam tahun di tahanan rumah.
Najib, 71, selaku pemohon meminta dipindahkan dari Penjara Kajang yang mana bekas Presiden UMNO ini mahu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Ia menerusi Titah Adendum yang dititahkan Yang Di-Pertuan Agong ke-16 pada 29 Januari lalu, berhubung pengurangan tempoh hukuman penjara enam tahun.
Najib memfailkan notis perakuan segera agar pemohonan itu didengar sebelum tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 10 April ini.
Pendengaran untuk permohonan ini ditetapkan pada Khamis di hadapan Hakim, Datuk Amarjeet Singh.
Beliau memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Shafee & Co dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara dan Peguam Negara sebagai responden pertama hingga ketiga.
Sementara Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia selaku keempat hingga ketujuh.
Menerusi notis permohonan yang dimuat turun melalui sistem carian mahkamah, bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jika Titah Adendum tersebut wujud, Najib memohon perintah untuk kesemua atau salah seorang responden melaksanakan titah Yang Di-Pertuan Agong ke-16.
Bekas Pengerusi BN itu juga memohon satu perintah agar kesemua atau salah seorang responden memberikan salinan Titah Utama dan Titah Adendum oleh Yang Di-Pertuan Agong tersebut.
Berdasarkan afidavit yang diikrarkan pada Isnin lalu, Najib berkata, makluman melalui sesalinan surat bertulis kepada Yang Di-Pertuan Agong ke-16 dan ke-17, dibuat pada 25 Mac lalu.
"Saya tidak akan mengekshibitkan surat yang dihantar kepada kedua-dua Yang di-Pertuan Agong atas alasan kerahsiaan dan kewajaran,” katanya.
Najib menambah permohonannya bersifat ‘bona fide’ kerana telah terjejas teruk selain.
Pada 22 Ogos 2022 lalu, buat pertama kalinya dalam catatan sejarah negara, Najib menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib.
Sekali gus menyaksikan perdana menteri keenam itu kecundang dalam rayuan akhirnya di peringkat tertinggi setelah empat tahun kes itu berlangsung.
Najib dihantar ke Penjara Kajang jam 5.43 petang dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam diiringi beberapa kenderaan polis dan tiba di penjara pada 6.47 petang.
Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berhubung dana SRC International.
Najib menghadapi tiga lagi kes di mahkamah membabitkan dakwaan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta.
Bagaimanapun, Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan meminda Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) malah keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan, pada 12 September tahun lalu.
Spekulasi mengenai pembebasan awal Najib akhirnya terjawab apabila Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas pemimpin UMNO itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Menurut kenyatan yang dikeluarkan urusetia lembaga tersebut, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu).
Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan telah memutuskan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
Bagaimanapun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi beliau akan ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28