SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam di negeri ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia yang akan dibayar pada Jumaat ini membabitkan seramai 6,662 penjawat awam.
"Hasil mesyuarat hari ini kita bersetuju memberikan bantuan tersebut dengan peruntukkan lebih RM3 juta melibatkan semua peringkat perjawatan," katanya pada Program Pra-Pelancaran Mantai Rayo di Wisma Negeri pada Rabu.
Hadir sama, Exco Kanan Negeri Sembilan merangkap Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, kerajaan telah mengarahkan kerja-kerja pengambilan dan mengorek pasir dihentikan bermula Isnin ini sehingga 15 April bagi mengelakkan berlakunya gangguan bekalan air pada musim perayaan ini.
"Kita berharap dengan menghentikan kegiatan pengambilan dan pengorekan pasir dapat mengelakkan kekeruhan air yang tinggi seterusnya bekalan air tidak terjejas," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!