KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024.
RUU itu diluluskan sebulat suara selepas dibahas oleh sembilan senator sejurus dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu, Hui Ying berkata, langkah tersebut bertujuan meminda Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Akta 370) melibatkan fasal 1 hingga fasal 12.
Antaranya ialah fasal 10 yang bertujuan meminda subseksyen 11(2) Akta 370 bagi mengurangkan tempoh wang tak dituntut (WTD) yang dikreditkan ke Akaun Amanah Disatukan daripada 15 tahun kepada 10 tahun.
"WTD yang dipindah ke Akaun Hasil Disatukan dapat menyumbang kepada keperluan perbelanjaan kerajaan terutama dalam memenuhi objektif sosioekonomi negara serta langkah pemulihan ekonomi," katanya.
Hui Ying berkata, walaupun pindahan WTD dibuat ke Akaun Hasil Disatukan namun tuntutan terhadap WTD masih boleh dibuat.
"Sekiranya rang undang-undang ini diluluskan, jumlah WTD yang akan dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan mencecah RM1.98 billion pada awal pelaksanaan," katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28