JITRA - Sekumpulan anak muda dari Pertubuhan Warga Cakna membanting tenaga dengan bergotong-royong menyiapkan bubur lambuk untuk diagihkan sebagai juadah berbuka di sekitar Jitra.
Usaha murni itu dilakukan secara sukarela setiap minggu menerusi sumbangan orang ramai mahupun individu yang ingin berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan ini.
Pengerusi Pertubuhan Warga Cakna, Ahmad Zhafrin Danial Razali berkata, sebanyak 500 pek bubur lambuk disediakan untuk diagihkan kepada orang ramai.
"Gotong-royong merewang bermula seawal jam 10 pagi dan semua kerja-kerja dapat diselesaikan sebelum solat Asar. Kita sediakan dua kawah untuk dapatkan 500 pek dan program ini diadakan seminggu sekali.
"Kami sangat gembira dapat menyumbangkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat sebagai satu bentuk khidmat sosial. Semoga sumbangan ini dapat menyemarakkan semangat Ramadan kalangan penduduk Jitra,” ujarnya.
Ahmad Zhafrin Danial berkata, antara keunikan yang masih dikekalkan kumpulan anak muda ini ialah memasak bubur lambuk secara tradisional menggunakan kayu api berbanding dapur gas yang banyak digunakan pada ketika ini.
"Masak menggunakan kayu api ada kelainannya, aroma masakan lebih sedap dan rata-rata penerima bubur lambuk ini gembira disantuni untuk berkongsi juadah berbuka.
"Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang sudi berkongsi rezeki untuk diagihkan bersama,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!