‘Mana negara Islam, kenapa tengok saja mereka syahid?’

Iklan
Yousof antara salah seorang panelis pogram Wacana Sinar edisi 435 bertajuk ‘Gaza Selepas Gencatan Senjata’ pada Rabu. Foto Sinar Harian-Mohd Halim Abdul Wahid

SHAH ALAM - Konflik antara Palestin-Israel yang berlanjutan hampir enam bulan itu dikatakan semakin teruk sehingga warga tempatannya mempersoalkan peranan negara Islam lain.

Rakyat Palestin yang berada di Malaysia, Yousuf Abuassi berkata, keadaan di negara asalnya itu terjejas sehingga melibatkan kematian melebihi satu ribu sehari, kanak-kanak putus tangan dan kaki serta tiada kediaman disebabkan serangan bom.

Iklan
Iklan

"Mana negara Islam? Kenapa tengok sahaja mereka syahid? Mak dan 12 adik-beradik saya yang lain duduk di tepi jalan kerana rumah sudah hancur dibom rejim Zionis.

"Keadaan di sana sangat teruk dan peperangan kali ini paling buruk,” katanya semasa Wacana Sinar edisi 435 bertajuk ‘Gaza Selepas Gencatan Senjata’ pada Rabu.

Iklan

Program tersebut yang dihoskan oleh Ismail Adnan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pakar Undang-undang Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mohd Yazid Zul Kepli dan Pengarah Advokasi Global Peace Mission Malaysia, Mohd Khairul Anwar Ismail yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.

Dari kiri: Ismail bersama Dr Mohd Yazid, Mohd Khairul dan Yousuf Abuassi ketika program Wacana Sinar edisi 435 bertajuk ‘Gaza Selepas Gencatan Senjata’ di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. Foto Sinar Harian-Mohd Halim Abdul Wahid

Tambah Yousuf, kedatangannya ke Malaysia pada 2015 kerana sukar melanjutkan pelajaran seterusnya bekerja dalam bidang pilihan masing-masing.

Iklan

Ujarnya, dia bekerja selama dua tahun dan memutuskan untuk keluar dari negara itu ke Malaysia supaya dapat membantu ahli keluarganya yang masih menetap di sana.

"Tentera Israel bom sekolah saya dahulu dan kawan saya syahid depan mata saya. Saya tidak tahan untuk terus menetap di sana,” jelasnya.

Selain itu, Yousuf berkata maklumat yang dikongsikan di media sosialnya merupakan inisiatif untuk umat Islam di seluruh dunia mengetahui perbuatan keji dilakukan tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

"Saya jadi wartawan di Instagram sendiri untuk orang luar tengok dan ingat apa yang rejim Zionis sudah lakukan kepada rakyat Palestin,” ujarnya ringkas.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28