Bulan puasa pun 'kenduri' dadah

Iklan
Seramai 26 penagih yang sedang seronok 'kenduri' dadah di dalam kebun sawit di Felda Jelai, Gemas, di sini ditahan polis dalam Ops Sarang, pada Selasa.

TAMPIN - Seramai 26 penagih yang sedang seronok 'kenduri' dadah di dalam kebun sawit di Felda Jelai, Gemas, di sini ditahan polis dalam Ops Sarang, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, tangkapan kesemua individu berusia 28 hingga 60 tahun termasuk seorang tokan dadah itu ditahan susulan tangkapan awal terhadap tiga lelaki di kawasan Felda sama.

Iklan
Iklan

"Kira-kira jam 9.15 pagi semalam (Selasa), sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tampin melaksanakan Ops Sarang bagi menggempur sarang penagihan dadah di sekitar daerah Tampin terutamanya di kawasan Felda.

"Serbuan pertama pihak polis menahan tiga lelaki lingkungan umur 39 hingga 44 tahun di Felda Jelai, di sini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan menjumpai enam paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin anggaran berat 46 gram dan empat paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu anggaran berat 12 gram.

Tambahnya, turut dirampas empat paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin anggaran berat 20 gram dan empat paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu anggaran berat 10 gram.

Iklan

Ujarnya, lanjutan daripada tangkapan itu, kira-kira jam 10 pagi pihak polis menyerbu pula 'port dadah' di kawasan kebun sawit Felda Jelai, Gemas dan berjaya menahan seramai 26 penagih termasuk tokan berusia dalam tersebut.

"Hasil semakan rekod jenayah terhadap tokan yang ditahan mendapati dia mempunyai tujuh rekod berkaitan dadah.

"Seramai sembilan penagih akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 memandangkan mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Kata Amiruddien, hasil ujian saringan awal air kencing didapati kesemua suspek yang ditahan positif dadah jenis morphine dan methamphetamine.

"Kesemua suspek kini ditahan reman empat hingga tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(1), 12(2) dan Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,020," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28