Bunuh bekas isteri dalam idah: Bapa 5 anak terlepas hukuman gantung

Iklan
Kompleks Istana Kehakiman Putrajaya. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Seorang bapa lima anak terlepas dari tali gantung setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun, atas kesalahan membunuh bekas isterinya yang ketika itu masih berada dalam idah di sebuah rumah di Segamat, Johor, 19 tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan, mengetepikan hukuman mati dijatuhkan kepada Daud Ahmad, 54, selepas membenarkan permohonan di bawah Semakan Hukuman Mati dan Penjara Seumur Hidup (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan), Akta 2023 yang berkuat kuasa tahun lepas.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan lelaki yang sebelum ini bekerja kampung itu, menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 27 Ogos 2005.

Daud telah menjalani hukuman penjara selama 19 tahun di Penjara Simpang Renggam, Johor.

Iklan

Terdahulu, peguam Mohd Radzi Yatiman yang mewakili Daud memohon agar mahkamah mengetepikan hukuman mati dan digantikan hukuman penjara antara 31 tahun hingga 33 tahun dan tanpa sebatan, dengan mengambil kira faktor umur pemohon telah melepasi 50 tahun.

"Dalam kes ini, pemohon (Daud) sendiri telah menyerah diri kepada pihak polis dan tiada senjata digunakan.

Iklan

"Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan kelapan iaitu ahli patologi merumuskan punca kematian sebagai Ligatour Strangulation yang mana si mati dijerut menggunakan selendang.

"Hubungan antara pemohon dan si mati ialah bekas isteri yang masih dalam idah.

"Pemohon telah insaf malah kelima-lima anaknya bergilir-gilir melawat pemohon (di penjara),” kata peguam itu dan memaklumkan tempoh idah bekas isteri pemohon pada ketika itu masih ada sebulan lagi.

Pada 28 November 2009, Mahkamah Tinggi Muar menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Daud yang didapati bersalah membunuh pekerja kedai makan Mimi Afiza Tamby, yang ketika itu berusia 31 tahun di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lubok Batu, Segamat, Johor antara 1.30 pagi sehingga 2.30 pagi, pada 26 Ogos 2005.

Mahkamah Rayuan pada 31 Mei 2012 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan rayuan perayu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 4 Sept 2013.

Timbalan Pendakwa Raya, Datin Asmah Musa berkata, pihak pendakwaan tidak membantah pindaan hukuman mati, namun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun sehingga 40 tahun terhadap pemohon.

"Kami (pendakwaan) telah ambil maklum tentang ahli keluarga dan anak-anak kepada si mati dan tertuduh. Walaupun tiada senjata pisau digunakan tetapi selendang telah digunakan untuk menjerut leher bekas isterinya,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Mimi Afiza merupakan bekas isteri Daud dan mereka bercerai pada 25 Jun 2005. Wanita itu tinggal bersama lima anaknya manakala lelaki itu tinggal di tempat lain.

Pada hari kejadian, berlaku pertengkaran antara Daud dan Mimi Afiza mengenai hak penjagaan anak lelaki bongsu mereka yang ketika itu berusia enam tahun. Keesokannya, mayat mangsa ditemukan di longgokan sampah kira-kira 18.3 meter dari kawasan rumah mereka. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28