PASIR PUTEH - UMNO Kelantan menyakini kemelut dalam Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi kelebihan kepada partinya pada pilihan raya kecil (PRK), jika benar-benar berlaku.
Ini berikutan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada Isnin lalu yang meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu hingga memungkinkan kerusi di Parlimen Gua Musang dan Jeli serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, kosong.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, seperti parti-parti lain, UMNO juga sentiasa bersedia dalam soal pilihan raya dan mengatur strategi supaya mendapat kepercayaan daripada rakyat.
Menurut beliau, UMNO membuat persediaan itu bergantung kepada keadaan semasa politik dalam negara.
"Jika PRK berlaku, maka kami akan memanggil jentera-jentera parti dan mengatur gerak supaya dapat memenangkan UMNO.
Turut hadir Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Negeri Kelantan, Fazli Rizal Ismail.
Sebelum ini, dua Ahli Parlimen Bersatu di Kelantan iaitu Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain mereka, turut menyatakan menyatakan sokongan kepada pimpinan Kerajaan Perpaduan itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Pada 2 Mac lalu, Bersatu melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa meminda perlembagaan parti tersebut bagi membendung wakil rakyatnya daripada memberi sokongan kepada lawan.
Terkini, ADUN parti itu, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Zawawi menambah, sama ada PRK berlaku atau tidak, itu bergantung kepada keputusan mahkamah.
"Kalau lihat ‘momokan’ daripada Bersatu, sudah pasti mereka hendak adakan pilihan raya.
"Bagaimanapun kerusi kosong atau tidak adalah bergantung kepada keputusan mahkamah,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28