Kembalikan Piala Muhibah: Sathianathan

Iklan
B Sathianathan

SHAH ALAM - Kesedaran, toleransi serta sikap hormat-menghormati antara kaum di Malaysia perlu dipupuk semula di peringkat awal persekolahan supaya dapat mengembalikan semangat perpaduan yang semakin hilang.

Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan berkata, kelantangan semua pihak tidak kira pemimpin kerajaan atau politik termasuk rakyat yang gemar bercakap mengenai sentimen kaum dan agama juga disifatkan sebagai sangat membimbangkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, emosi kebencian kini diterjemahkan dalam pelbagai bentuk melalui tulisan, kata-kata dan kelompok kaum yang wujud.

"Kalau kita lihat generasi kini di sekolah tidak lagi duduk makan bersama atau melakukan aktiviti bersama.

Iklan

"Jika kita tinjau di sekolah-sekolah, boleh lihat jurang yang wujud ini di mana. Satu kelompok kaum India duduk berkumpul di sini, di sana kelompok Melayu dan kelompok Cina juga duduk berasingan.

"Jika di peringkat sekolah sudah begitu, bagaimana perpaduan itu boleh diwujudkan di peringkat lebih besar?” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Iklan

Sathianathan berkata, keadaan sekarang amat berbeza dengan generasi pada zaman beliau dahulu di mana perpaduan benar-benar wujud.

"Saya lahir pada tahun 1958 dan dibesarkan di sebuah ladang estet di Muar, Johor. Jiran saya majoriti Melayu dan kami semua tinggal harmoni.

"Boleh bermain bersama, makan bersama, berkawan tanpa ada keraguan terhadap agama atau sesama sendiri.

"Saya faham agama rakan Melayu dan Cina, hormat agama mereka. Mereka juga boleh faham dan hormat agama saya tanpa ada rasa benci,” katanya.

Sukan bola sepak salah satu medium merapatkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. - Foto FAM

Katanya, selaku individu yang sudah lama berada dalam arena sukan, beliau nampak kelompok-kelompok kaum itu turut wujud dalam industri tersebut.

"Saya ambil contoh mudah, apabila atlet-atlet sukan buat 'warm up' sebelum bermain bola umpamanya, pemain Melayu akan buat bersama kaum mereka, yang India bersama kaum mereka. Kaum Cina pula dah tak ada yang main bola.

"Biasanya, saya akan tegur jika nampak dan minta mereka buat 'warm up' dan berlatih bersama. Kita tak mahu sikap mengasingkan diri wujud antara kaum, kembalilah bergaul bersama sebab kita rakyat Malaysia,” katanya.

Sathianathan turut mencadangkan kerajaan mewujudkan kembali Piala Muhibah yang pernah dibuat untuk sukan takraw serta bola sepak dan mewajibkan penyertaan semua kaum.

"Mungkin suasana begitu boleh dikembalikan sebagai antara cara memupuk kembali semangat muhibah, selain pendidikan awal di sekolah.

"Pelajaran di sekolah juga harus memberi kefahaman tentang setiap agama dianuti di Malaysia agar semua kaum boleh memahami, menghormati dan menerima dengan hati terbuka,” katanya.

Sathianathan turut memuji kempen Uninstall Hatred: Reboot Malaysia & Global Harmony yang dicetuskan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan melihat ia antara cara terbaik untuk membangkitkan semula perpaduan antara semua kaum.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Hubungan kaum, agama semakin parah di Malaysia

Erat hubungan semakin rapuh

Henti main isu polarisasi perkauman, politik berlebihan