KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memberi jaminan bekalan bahan api diesel dan petrol mencukupi dalam menampung permintaan sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, KPDN sudah membuat penjadualan bagi memastikan semua stesen memperoleh bekalan yang mencukupi.
"Kita sudah ada jadual pasukan yang akan mengiringi lori-lori minyak dari sempadan Terengganu dan Gua Musang bagi melancarkan agihan bekalan ke stesen-stesen yang memerlukan.
"Pada masa sama kita turut mengaktifkan bilk kawalan bermula sebelum dan selepas Aidilfitri bagi memastikan bekalan tidak terputus," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Iftar KPDN di sini pada Rabu.
Ujarnya, pertemuan dengan pembungkus minyak masak telah diadakan bagi membincangkan stok bekalan bahan mentah itu.
Beliau berkata, KPDN akan memastikan semua 18 kilang pembungkus minyak masak menghantar bekalan setiap hari.
"Kita akan pastikan mereka hantar mengikut jadual yang telah ditetapkan.
"Proses ini akan berterusan sehingga selepas Aidilfitri. Kita akan pastikan bekalan sentiasa ada di pasaran," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28