Malaysia kutuk serangan udara Israel, korbankan pekerja bantuan WCK

Iklan
Salah satu mayat kakitangan kumpulan bantuan World Central Kitchen dibawa keluar dari bilik mayat hospital di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada Rabu, dua hari selepas konvoi NGO itu diserang Israel. Foto AFP

PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk serangan udara oleh Israel yang menyebabkan kematian tujuh pekerja bantuan dari badan amal World Central Kitchen (WCK) di Gaza.

"Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, serta pemimpin Kerajaan Negara-negara yang berduka atas kehilangan warganegaranya dalam serangan yang tidak berperikemanusiaan ini,” kata Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan
Iklan

Malaysia mengambil maklum dan turut berdukacita apabila WCK menangguhkan operasinya disebabkan oleh insiden tragis itu.

"Penangguhan operasi WCK akan menghalang usaha bantuan segera, menambahkan lagi kesengsaraan rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan kebuluran dan penyebaran penyakit," menurut Wisma Putra.

Iklan

Mangsa yang terkorban termasuk tiga warga Britain, seorang warga Poland, seorang warga Australia, seorang Palestin dan seorang yang memegang dwi-kewarganegaraan Amerika Syarikat-Kanada.

Wisma Putra berkata, ia juga amat bimbang dengan serangan yang disengajakan ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini, serta serangan ke atas WCK.

Iklan

Menurut Wisma Putra, rejim Israel harus mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2728 untuk memastikan perlindungan dan bantuan sampai kepada rakyat Palestin, dan konflik di Gaza mesti berakhir.

Tambahnya, rakyat Palestin berhak mendapat sokongan teguh dan bantuan dari komuniti antarabangsa, dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha secara kolektif mencari penyelesaian yang damai dan mampan terhadap krisis berterusan di Gaza.

"Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri.

"Malaysia berpegang teguh kepada penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata Wisma Putra. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28