Pulau Pinang guna kelebihan diiktiraf peringkat antarabangsa tarik pelancong

Iklan
Pulau Pinang manfaatkan semua peluang yang ada termasuk pengiktirafan di peringkat antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong khususnya warga asing bercuti ke negeri itu. Foto fail Bernama

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang memanfaatkan semua peluang yang ada termasuk pengiktirafan di peringkat antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong khususnya warga asing bercuti ke negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) negeri, Wong Hon Wai berkata demikian sebagai mengulas laporan peruncit terkemuka di United Kingdom, Post Office, yang telah menamakan Pulau Pinang sebagai tempat ke-11 dalam senarai destinasi pelancongan termurah di seluruh dunia.

Iklan
Iklan

Pengumuman itu dibuat sebagai sebahagian Holiday Money Report edisi 2024 yang turut mengangkat Pulau Pinang sebagai destinasi keempat terbaik di Asia.

Susulan diketengahkan dalam laporan itu, beliau berkata pihaknya mengemas kini produk pelancongan sedia ada sebagai daya tarikan baharu meliputi keindahan alam, makanan lazat serta warisan budaya dan seni yang unik.

Iklan

"Kami memperkenalkan pelbagai tema pelancongan dan pakej, seperti perkahwinan, persidangan dan pameran perubatan, kapal persiaran serta warisan budaya bagi memenuhi pelbagai pengalaman pelancongan," katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, kadar pertukaran Ringgit Malaysia ke atas mata wang asing ketika ini adalah sangat berbaloi dan memberi peluang kepada pelancong asing untuk menikmati pelbagai pengalaman makanan serta hiburan dengan harga yang berpatutan di Pulau Pinang.

Iklan

Produk-produk pelancongan Pulau Pinang katanya dikenali sebagai pilihan yang baik dan berkualiti, membolehkan pelancong menikmati penginapan di hotel mewah dengan kos berpatutan.

"Selain itu, usaha untuk meningkatkan infrastruktur seperti cadangan pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), projek kereta kabel di Bukit Bendera, hotel baharu, peningkatan dan pemodenan hotel sedia ada dan usaha-usaha lain telah dijalankan dengan cemerlang.

"Setiap pihak berkepentingan dan semua lapisan masyarakat turut berganding bahu untuk memajukan industri pelancongan di Pulau Pinang," katanya.

Menurut Hon Wai, dalam tempoh setengah tahun lepas beliau telah mengadakan lawatan ke beberapa syarikat penerbangan antarabangsa, bertujuan untuk memperkenalkan kelebihan pelancongan Pulau Pinang kepada pelancong asing.

Beliau juga telah melakukan lawatan ke empat bandar besar di India iaitu Mumbai, Chennai, Kochi dan New Delhi dalam usaha mempelopori pasaran di sana serta berharap untuk mencapai kesan positif hasil dasar visa bebas menjelang akhir tahun ini dengan menarik lebih banyak pelancong dari negara itu ke Pulau Pinang.

"Malah pelaksanaan pengecualian visa selama 30 hari antara Malaysia dan China telah memberi dorongan besar kepada industri pelancongan, namun, kesan positif yang jelas dari dasar visa bebas untuk India masih belum dapat dilihat secara jelas," katanya.

Menurutnya, jumlah kapal persiaran antarabangsa yang tiba di Pulau Pinang juga mengalami peningkatan iaitu sejak Januari hingga Februari tahun ini, terdapat sebanyak 45 pelayaran melibatkan 131,208 pelancong berbanding 31 pelayaran dan 108,039 pelancong dalam tempoh sama tahun lepas.

"Pada tempoh yang sama, jumlah pelancong domestik dan asing yang tiba di LTAPP meningkat kepada 577,329 orang atau sebanyak 26.93 peratus daripada 454,839 orang pada tempoh yang sama tahun lalu dan saya yakin bahawa jumlah pelancong akan terus meningkat," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28