MENGHAMPIRI penghujung Ramadan, umat Islam di Malaysia semakin sibuk membuat persediaan menyambut ketibaan Syawal dijangka 10 April ini.
Suasana setiap pelosok bandar dan pekan diterangi lampu hiasan serta orang ramai yang membeli-belah pakaian baharu buat ahli keluarga.
Namun dalam keseronokan itu, isu membabitkan serangan khianat di cawangan KK Mart semakin menjadi-jadi pula.
Perbuatan yang dipercayai berpunca daripada kontroversi penjualan stoking tertera kalimah ALLAH dan kempen boikot terhadap KK Super Mart itu dilihat melarat apabila ada pihak berani mencetuskan serangan khianat.
Sehingga hari ini, tiga insiden serangan khianat dilakukan membabitkan KK Mart Bidor, Perak; KK Mart Sungai Isap, Pahang dan KK Mart Satok di Kuching, Sarawak.
Rentetan itu, banyak pihak tampil mengutuk dan menggesa perbuatan tersebut dihentikan berikutan ia bukanlah budaya rakyat Malaysia.
Melempar molotov coktail dan bahan letupan di hadapan premis perniagaan bukanlah gambaran identiti perpaduan serta keharmonian warga Malaysia.
Sebaliknya, perbuatan itu mencerminkan bahawa penduduk negara ini penuh dengan sifat amarah yang sukar dikawal.
Ada pula berpendapat ia didalangi pihak berniat mencetuskan provokasi perkauman dan agama.
Lebih menyedihkan, serangan ketiga di Kuching, disifatkan telah mencemarkan nama baik Sarawak yang sinonim sebagai negeri contoh perpaduan.
Sebagai warganegara Malaysia yang cukup terkenal dengan kelembutan dan kesopanan dalam kalangan pelancong antarabangsa, tiga insiden itu tidak sepatutnya berlaku.
Paling membimbangkan, kejadian itu berkemungkinan menjadi bahan rujukan pelabur termasuk pelancong asing sebelum mereka menjejakkan kaki ke negara ini.
Semestinya ekonomi negara akan tercuit dek perbuatan yang kurang berakal itu.
Tahukah kita, perbuatan seumpama itu juga bakal menjejaskan nama baik Malaysia sebagai salah sebuah negara paling aman di dunia? Jadi perlukah untuk kita menormalisasikannya?
Kes membabitkan stoking tertera kalimah ALLAH ini sedang dibicarakan di mahkamah dan lebih molek untuk kita sebagai rakyat Malaysia tidak mengambil tindakan sendiri!
Malah, Pengasas KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan telah menghadap mohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada Rabu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28