KOTA BHARU - Menu air asam tapak kaki lembu yang hanya muncul semasa bulan Ramadan, membuatkan peniaga makanan tersebut, Mat Rosmadi Mohamad, 47, tidak memang tangan memenuhi permintaan pelanggan.
Situasi itu menyebabkan Mat Rosmadi atau Pok Die terpaksa mengehadkan tempahan bagi memastikan kualiti masakan tersebut terjaga.
Bekas tukang masak di atas kapal itu berkata, proses untuk memasak hidangan 'rare' itu sangat rumit dan mengambil masa sehingga tiga jam.
"Setiap hari sepanjang Ramadan seawal jam 5 pagi saya akan ke tempat penyembelihan untuk mendapatkan tapak kaki lembu yang segar.
"Kemudian tapak kaki tersebut akan dibakar bagi memudahkan proses membuang kuku kaki sebelum direbus selama tiga jam," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kedainya di Batu 11, Ketereh di sini pada Isnin.
Menurutnya, selepas siap direbus tapak kaki lembu tersebut akan dihiris-hiris kemudian dicampurkan dengan air asam yang telah siap diproses.
Ujarnya, untuk menyiapkan air asam bahan-bahan seperti limau nipis, bawang merah, cili padi, belacan, dan beberapa bahan lain diperlukan.
Pok Die yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang masakan memberitahu, permintaan terhadap air asam tapak kaki lembu melebihi penawaran walaupun ia dijual pada harga RM30 bagi satu tapak kaki.
Katanya, tempahan awal perlu dibuat bagi memastikan pelanggan tidak kecewa atau kempunan untuk menikmati juadah tersebut semasa berbuka puasa.
"Daging ini sukar ditemui kerana ia diambil di bahagian dada lembu dan mempunyai campuran lemak yang membuatkan ia enak dimakan," katanya.
Menurut Pok Die, hidangan tersebut dijual pada harga RM8 sebekas.
Ujar bapa kepada seorang anak itu, selain dua hidangan tersebut dia turut menawarkan air asam perut bulat dan muda; sup ekor serta gear box dan sup kaki kambing.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28