SEORANG warga emas dari Kubang Kerian tidak melepaskan peluang menikmati majlis iftar ala madinah di Mydin Tunjong di sini walaupun dalam keadaan uzur.
Siti Fatimah Ab Rashid, 74, datang lebih awal ke pasar raya berkenaan untuk bersama kira-kira 1,000 pengunjung lain.
Nenek kepada 17 cucu itu dibantu anaknya, Marina Taib, 40, selain turut membawa dua cucu perempuan berusia 10 dan 15 tahun.
"Memang sedikit penat berikutan usia saya tetapi itu bukan halangan untuk keluar berbuka puasa kerana mahukan kelainan di akhir-akhir Ramadan," katanya ketika ditemui sempena Jelajah Iftar Ala Madinah Mydin dan Sinar Harian di sini pada Rabu.
Siti Fatimah juga bersyukur kerana banyak hidangan disediakan oleh penganjur yang secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaannya.
Warga emas itu memberitahu, walaupun menghadapi kekangan kewangan namun anak-anak tetap membawanya keluar berbuka puasa di kedai makan setiap tahun ketika Ramadan.
Seorang lagi pengunjung, Noor Hafiza Hasbullah, 39, membawa tiga daripada empat anaknya untuk berbuka puasa.
Suri rumah itu tidak dapat bersama suami, Rusdi Jusoh, 45, kerana mendapat jemputan iftar di lokasi lain manakala anak anak sulungnya pula sedang belajar di salah sebuah sekolah permata pintar di luar Kelantan.
"Selain mahu membeli keperluan hari raya di pasar raya ini, Alhamdulillah, kami dapat menikmati kelainan berbuka di sini," katanya.
Noor Hafiza yang tinggal di Pasir Tumboh di sini mengakui usaha pihak pengurusan Mydin bersama rakan-rakan perniagaan lain dapat membantu menjimatkan kos berbuka puasa pengunjung yang menyertai iftar itu.
Selain itu, Noor Hafiza gembira kerana dapat meluangkan masa bersama anak-anak menikmati makanan dan minuman yang disumbangkan oleh peniaga di Mydin.
"Sudah pasti kita gembira kerana banyak makanan disediakan dalam satu beg selain pencuci mulut selepas berbuka puasa," katanya.
Turut memeriahkan program ialah Pencetus Ummah (PU), Rahmat Mohd Sofyan yang menyampaikan ceramah motivasi selain kuiz berkaitan Ramadan sebelum iftar.
Pengunjung juga teruja menyertai kuiz berkenaan yang mendapat wang sagu hati daripada penganjur.
Ketika ditemui beliau mencadangkan iftar seperti itu perlu dianjurkan banyak pihak di seluruh negara kerana manfaat untuk masyarakat terutama yang kurang bernasib baik.
Jelas beliau, tiga manfaat utama ialah mengeratkan hubungan masyarakat bersama agensi dan pemimpin selain dapat menjamu orang ramai terutama ketika Ramadan.
"Program yang turut melibatkan anak yatim dan pelajar tahfiz merupakan sebaik-baik pengisian untuk mendapat berkat.
"Kita bersyukur kerana rezeki ini ini dapat dikongsi bersama mereka yang kurang bernasib baik terutama ketika Ramadan," katanya.
Sementara itu, Pengurus Jualan Daerah Kuantan, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Zulhairil Mohamad berkata, pihaknya menyediakan kira-kira 1,000 botol minuman 100 Plus Active yang istimewa dan sesuai untuk berbuka puasa.
"Kami juga melakukan jelajah ke seluruh negara bersama Mydin untuk program Iftar Ramadan Ala Madinah dan Terengganu merupakan destinasi terakhir bersama F&N," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!