SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) genap 30 tahun beroperasi pada Rabu dan berjaya meningkatkan kutipan daripada RM15.9 juta pada 1994 kepada RM1.07 bilion pada 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Ahmad Fadhil Hassan berkata, prestasi kutipan membanggakan ini bersamaan dengan kadar 17.7 peratus peningkatan tahunan.
Menurutnya, dalam tempoh sama, pengagihan zakat melonjak daripada RM16.3 juta pada 1994 kepada RM1.05 bilion pada 2022 bersamaan 18 peratus kadar peningkatan tahunan.
"Lebih membanggakan, LZS menjadi institusi zakat pertama di Malaysia yang mengagihkan zakat melebihi RM1 bilion.
"Kejayaan dan keupayaan untuk menguruskan zakat selama 30 tahun di negeri ini adalah berkat kepercayaan semua pengeluar zakat kepada LZS," katanya pada Majlis Iftar bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan 2024 (Imtiyaz) di Dewan Orkid, Wisma PKPS pada Rabu.
Pada majlis itu, LZS telah menerima zakat perniagaan daripada 39 syarikat dan tiga pengeluar zakat individu berjumlah RM6.1 juta.
LZS turut menyampaikan agihan zakat kepada penerima membabitkan bantuan perubatan pesakit kulit kronik, kanser dan tunggakan bil pembedahan selain bantuan fisabilillah kepada Pertubuhan Kebajikan Al-Fikrah serta bantuan komputer riba kepada pelajar asnaf.
Jumlah keseluruhan sumbangan agihan pada majlis itu adalah sebanyak RM5.8 juta.
Sementara itu, beliau berkata, LZS menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM220 juta dan fitrah sebanyak RM40 juta sepanjang Ramadan ini.
Selain itu katanya, LZS meletakkan sasaran kutipan zakat perniagaan sebanyak RM191 juta bagi tahun ini.
"Zakat perniagaan memang besar peranannya dalam menyumbang kepada kutipan zakat.
"Pada 2023, daripada jumlah keseluruhan kutipan zakat yang dikutip di Selangor, zakat perniagaan telah menyumbang sebanyak RM176 juta, yang merupakan sumbangan kedua tertinggi selepas zakat pendapatan," katanya.
Ujarnya, potensi zakat perniagaan masih besar untuk diterokai susulan Selangor mempunyai ribuan entiti perniagaan sama ada bersifat perniagaan persendirian, syarikat perkongsian, koperasi dan sebagainya.
Justeru katanya, LZS sentiasa menyasarkan peningkatan dalam kutipan zakat perniagaan saban tahun, sesuai dengan potensi besar di negeri itu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28