Malam Lailatul Qadar

Iklan
Suasana ketika para jemaah Muslimin khusyuk mengerjakan solat sunat di Masjid Wilayah Persekutuan demi mendapatkan malam Lailatul Qadar yang hanya ada pada bulan Ramadan.

Ketika umat Islam yang lain berpusu-pusu membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri terdapat sebahagian yang lain sibuk mencari kenikmatan rohani dengan cuba mendapatkan malam Lailatul Qadar.

Malam Lailatul Qadar adalah satu malam kemuliaan yang lebih baik daripada seribu bulan seperti mana yang difirmankan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran.

Kebiasaannya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar para Muslim akan memulakannya dengan beriktikaf di dalam masjid, seterusnya menjelang sepertiga malam mereka akan mengerjakan solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir serta berdoa sehingga Subuh.

Malam-malam ganjil di sepuluh malam terakhir Ramadan juga menjadi tumpuan para Muslim untuk berjaga malam dan mengerjakan amal ibadat kerana dipercayai malam Lailatul Qadar terjadi pada malam-malam ganjil.

Keseronokan meraikan Aidilfitri mungkin akan lebih bermakna jika kita berjaya mendapatkan kenikmatan malam Lailatul Qadar.