Srim anjur Malam Badar 2024 berbuka puasa sambil beramal

Iklan
AKTIVITI khatam al-Quran oleh para pelajar Srim dibuat sempena Majlis Malam Badar 2024 anjuran PIBG Srim.

MENGAMBIL iktibar daripada peristiwa besar umat Islam iaitu Perang Badar, Sekolah Rendah iMusleh (Srim) menganjurkan Majlis Malam Badar di Dewan Citra, Ayer Keroh pada Sabtu.

Program berbuka puasa sambil beramal anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan meraikan lebih 400 tetamu termasuk ibu bapa, guru dan pelajarnya.

Iklan
Iklan

Pengarah Malam Badar Srim 2024, Ustaz Abdullah Shahir Ahmad Fadzil berkata, majlis tersebut merupakan platform kepada PIBG untuk mencari dana bagi mengisi tabung persatuan sekali gus membantu melancarkan penganjuran aktiviti dan meningkatkan prasarana sekolah.

"Srim merupakan sekolah swasta dan sebagai institusi swasta, jadi Srim tidak mendapat sebarang peruntukan daripada kerajaan.

Iklan

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Adam Adli Abd Halim yang juga merupakan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya dan Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Melaka, Ammar Abdul Rahman.

ADAM ADLI (tengah) turut hadir ke Majlis Malam Badar 2024 dan lebih 400 tetamu termasuk ibu bapa, guru dan pelajar diraikan.

Iklan

Abdullah Shahir yang juga merupakan Pengerusi PIBG menambah, majlis yang bermula pada pukul 4.30 petang itu diisi dengan aktiviti pengisian jiwa dan rohani seperti khatam al-Quran, tazkirah, nasyid, zikir, selawat dan iftar selain solat berjemaah.

"Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran artis nasyid popular tanah air, Munif Hijjaz yang mendendangkan beberapa buah lagu nasyid, selawat dan zikir munajat,” katanya.

Sementara itu, Ammar berkata, penganjuran Malam Badar Srim juga sebagai matlamat membina jambatan penghubung dalam mewujudkan kerjasama strategik antara ibu bapa, guru, sekolah dan komuniti.

"Pihak lembaga pengelola sekolah dengan kerjasama PIBG berjaya mengumpul dana pembangunan sebanyak RM2 juta dengan membeli sebidang tanah seluas empat ekar di Zon Bandar Hijau.

"Cita-cita ini mungkin kelihatan sukar dan mencabar, namun dengan keyakinan dan gandingan tenaga di antara ibu bapa, guru, lembaga pengelola sekolah, IKRAM, komuniti, korporat dan pemimpin setempat, ia mampu direalisasikan,” katanya.

Pusat Pendidikan iMusleh merupakan salah satu jenama yang ditubuhkan pertubuhan tersebut yang kini mempunyai lebih 60 buah sekolah dan 19,000 pelajar di seluruh Malaysia.

ARTIS nasyid terkenal, Munif Hijjaz menyanyikan beberapa buah lagu nasyid selain zikir dan selawat pada majlis berkenaan.

Tambah Ammar, nama majlis diambil bersempena peperangan Badar yang dihadapi tentera Islam pimpinan Rasulullah SAW semasa bulan Ramadan.

"Perisitwa ini melihat ketinggian semangat dan pengorbanan umat Islam menghadapi saat getir peperangan yang tidak dirancang.

"Justeru, kita juga perlu mengambil ibrah dengan membangunkan jiwa perjuangan yang optimis, cekal dan bersungguh bagi merealisasikan usaha pendidikan masa hadapan bagi anak-anak kita,” katanya.