PEMERGIAN bintang serba boleh, Jaafar Onn Awang pada jam 11.32 pagi, semalam sememangnya mengejutkan ramai biarpun berita Allahyarham dimasukkan ke hospital diketahui umum.
Bagi teman artis yang rapat dengan anak kelahiran Muar, Johor itu, pemergian Allahyarham sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam, apatah lagi lelaki berusia 72 tahun itu dikenali sebagai seorang yang pemurah.
Antara yang terasa tentulah penerbit dan pelakon Datin Naszriah Ngasri atau lebih dikenali sebagai Anne Ngasri.
Anne yang membesar di set bersama Allahyarham ketika pembikinan Cili Padi menyifatkan Jaafar tidak ubah seperti bapanya sendiri.
Anne yang kini berada di Tanah Suci Makkah mengakui sedih kerana tidak berkesempatan untuk menziarahi Allahyarham.
Lebih terasa apabila Lebaran kali ini, tiada lagi kek kukus buah air tangan Jaafar seperti kebiasaannya.
"Masya-ALLAH terlalu banyak kenangan kita. N masih di Makkah dan menerima khabar duka ini. Harapan nak jumpa Papa balik nanti tidak kesampaian, ALLAH lebih sayangkan Papa, pergi mu di bulan baik.
"Setiap tahun tak pernah gagal beraya dengan kek kukus buah tapi tidak kali ini. Papa insan seni hebat dan terlalu baik. N akan selalu doakan Papa bahagia di sisi Pencipta..." luahnya.
Jaafar menghembuskan nafas terakhir ketika menjalani prosedur endoskopi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor pada Rabu.
Jenazah kemudiannya dibawa pulang ke Tanjung Gading, Muar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Firdaus Tanjung Gading, jam 8.30 malam pada Rabu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28