SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 39 kompaun berjumlah RM78,000 susulan pemeriksaan ke atas 203 premis industri dalam Ops Gempur Raya 2024 di seluruh negara bagi tempoh 17 Mac hingga Rabu.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kompaun dikeluarkan melibatkan pelbagai pelanggaran peraturan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Menurutnya, selain kompaun, JAS turut mengeluarkan 50 notis arahan, menahan kelengkapan dan menyita lima premis di samping membuka tiga kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan.
Nik Nazmi berkata, Ops Gempur Raya 2024 merupakan usaha berterusan JAS dalam mencegah berlakunya insiden-insiden pencemaran alam sekitar khususnya pencemaran air pada musim perayaan.
"Operasi ini melibatkan pemeriksaan premis secara bersasar dan dijalankan secara besar-besaran bagi memastikan operasi premis tidak menjejaskan pematuhan kepada AKAS 1974.
"Operasi ini juga bertujuan untuk mengesan aktiviti-aktiviti berisiko menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti pelepasan efluen perindustrian tidak terawat, pelupusan haram buangan terjadual serta pembakaran terbuka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhir Ops Gempur Raya 2024 yang diketuai Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar di sekitar Shah Alam di sini pada Khamis.
Nik Nazmi berkata, pelaksanaan operasi itu memberi fokus kepada premis-premis mempunyai tahap pematuhan rendah kepada AKAS 1974 atau premis-premis bermasalah dari sektor-sektor industri yang telah dikenal pasti berisiko tinggi mencemarkan alam sekitar.
"Ini meliputi industri-industri pembuatan produk logam, kertas, galian bukan logam, makanan, kimia, berasaskan getah dan plastik serta produk berasaskan petroleum.
"Tumpuan juga turut diberikan kepada premis-premis yang terletak di hulu takat pengambilan air," katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, JAS akan terus menjalankan penguatkuasaan AKAS 1974 bagi memastikan kualiti alam sekitar tidak terjejas walaupun aktiviti perindustrian pesat membangun agar kelestarian alam sekitar dapat dikekalkan.
"Penguatkuasaan oleh pihak kerajaan sahaja tidak dapat menyelesaikan isu pencemaran alam sekitar kerana ia memerlukan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak," tambahnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28