Aliff Aziz tidak mahu ceraikan Bella Astillah

Iklan
Aliff dan Bella hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis, bagi kes sebutan permohonan cerai.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz enggan menceraikan isterinya, Bella Astillah di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, pada Khamis.

"Ini bukan keputusan yang boleh difikirkan dalam masa sehari, saya perlukan masa untuk sediakan keputusan yang besar," kata Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 33, semasa sebutan permohonan cerai Bella Astillah, 29, di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding, peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Bella atau nama penuhnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah selaku pemohon berkata, mahkamah telah menetapkan Mac lalu, untuk sebutan cerai secara 'fast track'.

Bagaimanapun, beliau berkata, Aliff sebagai defendan tidak dapat hadir kerana urusan kerja.

Iklan

Beliau kemudiannya memohon kepada mahkamah supaya defendan menyatakan pendirian bagi permohonan anak guamnya.

Sementara itu, peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh yang mewakili Aliff berkata, anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan Bella untuk berpisah.

Iklan

Susulan itu, beliau memohon tindakan lanjut daripada mahkamah dengan menetapkan tarikh baharu untuk prosiding berhubung lantikan jawatankuasa pendamai (JKP).

Hakim Syarie: Defendan, adakah benar apa yang dimaklumkan tadi?

Aliff: Benar, saya tidak setuju untuk melafazkan cerai.

Hakim Syarie: Apa alasannya?

Aliff: Ini bukan keputusan yang boleh difikirkan dalam masa sehari, saya perlukan masa untuk sediakan keputusan yang besar.

Hakim Syarie: Masih sayangkan keluarga ini?

Aliff: Ya, sayang.

Azmi kemudiannya memohon mahkamah menasihati Aliff supaya mempertimbangkan keputusan berkenaan dengan mengambil kira perbalahan hingga menjadi tarikan di media sosial.

Mendengar perkara itu, Abdul Hadi membantah dengan menyatakan saranan peguam plaintif sebagai suatu perkara yang tidak wajar.

Setelah mendengar permohonan daripada kedua-dua peguam syarie itu, Hakim Syarie sekali lagi bertanyakan pendirian Aliff sama ada bersetuju untuk melafazkan cerai atau sebaliknya.

Aliff mengulangi pendirian yang sama iaitu kekal tidak bersetuju untuk melafazkan cerai.

Mahkamah kemudian merekodkan kakak angkat Bella dikenali Roslinda, 44, sementara ibu Aliff, Siti Hafiza Basharahil sebagai wakil JKP masing-masing.

Prosiding sebutan bagi laporan JKP ditetapkan pada 4 Jun depan.

Aliff yang juga anak kelahiran Singapura mendirikan rumah tangga dengan Bella pada 9 September 2016, namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh edah.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.

Pada 11 Mac lalu, Bella yang berasal dari Sabah, telah permohonan cerai secara 'fast track' daripada suaminya itu kerana tiada persefahaman dan 'mawaddah' (cinta dan kasih sayang), mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Perceraian ‘fast track’ merupakan satu proses yang mana pasangan yang bersetuju untuk bercerai di bawah peruntukan Seksyen 47 itu, tidak perlu menunggu selama 90 hari untuk menyelesaikan kes.

Ia selepas insiden tangkap berkhalwat membabitkan satu pasangan di sebuah kondominium mewah di ibu kota, yang kemudiannya disahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Jawi berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan penahanan pasangan artis berstatus suami orang dengan seorang pelakon wanita seperti dilaporkan media sejak awal pagi itu.

Bella hadir di mahkamah memakai jubah biru ditemani ahli keluarga sementara Alif berkemeja serta berkaca mata ditemani bersama ibunya.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Bella berkata, dia sudah penat menghadapi kemelut rumah tangga ini.

"Saya memang tak sangka dengan keputusan Aliff (enggan lafaz cerai) kerana ingatkan semuanya akan selesai hari ini," katanya.

Sementara itu, Aliff berhasrat mahu menyelamatkan perkahwinannya demi kebajikan dua anak mereka.

"Saya nak ambil setiap peluang untuk memperbaiki perkara yang berlaku dalam perkahwinan ini, memandangkan masing-masing pernah membuat kesilapan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!