SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memantau 250 ejen zakat di negeri itu bagi mengelak berlaku ketirisan dan penyelewengan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Ahmad Fadhil Hassan berkata, pihaknya sangat teliti dalam pemilihan ejen melalui beberapa kriteria dan proses yang perlu dipatuhi selain melihat reputasinya.
Menurutnya, LZS turut bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor bagi memastikan dakwah zakat tidak disalah guna dan mencemar imej institusi tersebut.
"Kita ada buat semakan setiap tahun. Ada ejen dibawa masuk dan ada juga dikeluarkan kerana terdapat kriteria yang tidak memenuhi piawaian ditetapkan.
"LZS tidak teragak-agak untuk tamatkan khidmat ejen bermasalah. Terdapat pasukan yang ditubuhkan untuk melakukan pemantauan ejen zakat di Selangor," katanya pada Majlis Iftar bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan 2024 (Imtiyaz) di Dewan Orkid, Wisma PKPS pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah dilakukan LZS bagi mengelak timbul isu penyelewengan seperti yang pernah berlaku di Perak sebelum ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhil berkata, penamatan sesebuah ejen kebanyakan disebabkan mereka tidak mampu mencapai sasaran ditetapkan LZS.
"Sudah tentu ada berlaku risiko penyelewengan namun kita cuba cegah menerusi pertemuan dan tengok juga sasaran ditetapkan.
"Setakat ini tidak ada isu kritikal atau penyelewengan, yang ada hanya melibatkan pengoperasian," katanya.
Tambahnya, LZS tidak boleh menidakkan fungsi ejen dalam menyebar luas dakwah zakat.
"Sebenarnya apabila kita pelbagaikan platform bayaran, kita percaya akan dapat jejaki pembayar di luar LZS.
"Kita ada kakitangan dan cawangan LZS dalam sebar luas dakwah zakat namun ejen diperlukan kerana mereka ada golongan sasar masing-masing seperti universiti dan lain-lain," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!