DATIN Paduka Dr Tan Yee Kew ialah seorang pemimpin politik wanita yang sudah agak lama berkecimpung dalam dunia politik tanah air, namun agak menghairankan tindak-tanduknya seolah-olah baru setahun jagung bergelar Yang Berhormat.
Namanya menjadi sebutan di media sosial sepanjang minggu lalu gara-gara menjelir lidah. Akibat tidak memikirkan kesan, perbuatan kebudak-budakannya itu akhirnya menjerat diri.
Beliau kini menjadi wakil rakyat di Parlimen Wangsa Maju di Kuala Lumpur setelah menang pada PRU14 lalu.
Sebelum menyertai PKR, beliau ialah bekas Ahli Parlimen Klang dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Dengan memiliki pengalaman luas, beliau sepatutnya tahu sepak terajang mainan politik, malah akademiknya pun tidak kurang hebat dengan memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Malangnya, beliau melakukan tauladan buruk yang tidak mencerminkan keperibadian seorang wakil rakyat dan menjadi bahan lawak netizen di media sosial.
Apakah beliau sudah hilang sabar sehingga sanggup memalukan dirinya sendiri?
Yee Kew sebelum ini pun pernah menjadi bualan ramai ketika hari penamaan calon PRU14 lalu.
Beliau hampir hilang kelayakan bertanding apabila lupa membawa kad pengenalan ke pusat penamaan calon.
Tidak dinafikan setelah menjadi YB Wangsa Maju selama hampir 20 bulan, banyak juga sumbangan dan perubahan dilakukan antaranya pemindahan lokasi Uptown Danau Kota yang sebelum ini gagal ditangani YB Barisan Nasional.
Bagaimanapun, seperti kata orang, sekali kita buat silap, 10 tahun pun masih ingat. Malahan, keadaan mungkin menjadi lebih teruk apabila jeliran lidahnya akan terbawa-bawa ke peti undi pada PRU akan datang.