PUTRAJAYA - Jualan Agro Madani Aidilfitri menawarkan penjimatan kepada rakyat bagi membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut minggu depan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, antara barangan keperluan ditawarkan antaranya beras, ayam super, daging, hasil laut selain Kombo Madani yang dijual pada harga yang rendah.
"Rakyat boleh mendapatkannya pada harga yang murah dengan menikmati penjimatan sehingga 30 peratus," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani Aidilfitri di Wisma Tani, dekat sini pada Khamis.
Ujar beliau, keutamaan pelaksanaan Program Jualan Agro Madani Aidilfitri adalah kompleks kerajaan, jabatan dan agensi, kawasan perumahan berkepadatan tinggi selain outlet peruncitan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Jadual dan lokasi program ini boleh didapati di laman sesawang kementerian dan sebenarnya hampir setiap hari Jualan Agro Madani diadakan di seluruh negara," jelasnya.
Menurut Arthur, Jualan Agro Madani telah mencapai nilai jualan RM35.3 juta dengan nilai penjimatan dinikmati pengguna sebanyak RM10.5 juta sehingga 31 Mac lalu.
"Bagi tempoh sama, sebanyak 1,737 program telah diadakan membabitkan 21,806 usahawan yang memberi manfaat kepada 3.52 juta isi rumah," katanya.
Pada tahun lalu Program Jualan Agro Madani mencapai nilai jualan RM93.7 juta dan memberi penjimatan kepada pengguna RM27.8 juta sejak ia dilancarkan pada 16 April.
Sementara itu, pengunjung yang ditemui menyifatkan program tersebut murah berbanding harga pasaran.
"Jualan ini sangat membantu kami untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah," kata Nursyamira Abd Razak.
Dalam pada itu, Arthur turut menyempurnakan agihan bubur lambuk yang menjadi tradisi kementerian berkenaan saban tahun.
"Program ini melambangkan perpaduan dan persepakatan rakyat walau berbeza bangsa, budaya dan agama namun ia diraikan serta diterima bersama bagi mencapai matlamat serta perpaduan," katanya.
Program agihan bubur lambuk dianjurkan oleh Kelab Tani, Puspanita cawangan KPKM, FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Ikan Malaysia (LKIM).
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan sumbangan zakat, sumbangan kepada mangsa kemalangan, bantuan kesihatan, sumbangan bencana dan Sumbangan Ceria Aidilfitri kepada warga kementerian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!