KOTA BHARU - Seorang ibu kepada empat anak dari Kampung Pisang, Peringat di sini, menyifatkan sumbangan beras yang diterimanya lebih 'mahal' daripada baju raya.
Rosni Mohd Napi, 44, berkata, sumbangan beras 10 kilogram (kg) itu dapat digunakan pada sambutan Aidilfitri sekali gus meringankan bebannya sekeluarga.
"Suami hanya bekerja buruh dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Dalam keadaan ekonomi hari ini, kami terpaksa mengorbankan sambutan Aidilfitri bagi memastikan dapur terus berasap.
"Cukuplah pakai baju raya lama sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Kongsi Rezeki, Sebar Bahagia di Masjid Imanul Fa'izin.
Pada majlis itu, sebanyak 15,000 kilogram (kg) beras disumbangkan oleh RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) yang diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Dr Azizan Osman bersama pengasas Noir Health & Beauty Sdn Bhd (Noir), Eriyca Baiduri atau lebih dikenali sebagai Madammu.
Bagi Siti Nurellyana Abdullah, 33, pula dia bersyukur terpilih sebagai salah seorang penerima beras yang disifatkan rezeki terpijak menjelang Aidilfitri.
Ujarnya, ketika ini pendapatan keluarga terjejas apabila suami tidak dapat keluar bekerja.
Dia memberitahu, Aidilfitri kali ini dia hanya membuat persiapan untuk dua anaknya yang berusia sembilan dan 11 tahun sahaja.
"Saya dan suami cukuplah pakai yang mana ada. Asalkan anak-anak berbaju baharu dan beras masih ada untuk dimasak," katanya.
Sementara itu, Madammu berkata, beliau dan suaminya sangat bersyukur dengan kesempatan berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan di sini.
"Siapa sangka, saya yang dulunya hanya seorang suri rumah kemudian mula berniaga dari situ hingga sekarang dapat bantu ubah hidup ramai wanita di luar sana melalui perniagaan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28