KUALA LUMPUR - Seorang saksi penting dijangka memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan kebenaran Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar, mengenai wujudnya satu dekri tambahan yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki enam tahun penjara di bawah tahanan di rumah.
Semasa perbicaraan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Datuk Amarjeet Singh bahawa saksi berkenaan kini berada di Makkah untuk 10 hari terakhir Ramadan.
"Saya memohon penangguhan yang singkat kerana malangnya orang yang paling kritikal (saksi) kepada permohonan itu tidak menandatangani afidavit berkenaan kerana dia telah berlepas ke Makkah dan dijangka kembali selepas Hari Raya Aidilfitri.
"Affidavit ini adalah kritikal, walaupun di peringkat ini. Saya hanya memerlukan masa yang singkat, mungkin sehingga satu tarikh yang telah saya rundingkan dengan rakan saya ‘sebelah sana’ iaitu pada 17 April," katanya.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili responden tidak membantah terhadap perkara itu.
Hakim Amarjeet kemudian membenarkan penangguhan sehingga 17 April dan mengarahkan supaya hujahan bertulis difailkan pada 15 April.
Sementara itu, hakim menolak permohonan peguam Abhilaash Subramaniam yang mewakili Majlis Peguam untuk mengikuti prosiding itu sebagai pemerhati, dengan alasan kebenaran belum lagi diberikan, dan pada peringkat ini ia masih permohonan ex-parte.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Muhammad Shafee bagaimanapun enggan mendedahkan identiti saksi penting permohonan itu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lepas menerusi Tetuan Shafee & Co.
Pemohon (Najib) menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Dalam notis permohonan itu, Najib memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.
Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.
Najib, 70, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda telah dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28