KOTA KINABALU - Seorang pesara tentera sengaja menjeratkan dirinya dengan najis dadah dan dipenjarakan demi untuk bertemu dengan adiknya yang turut ditahan di Penjara Wanita Kota Kinabalu.
Wanita dikenali sebagai Angah berusia 40 tahun itu antara empat penghuni penjara wanita yang diberi pelepasan awal menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) yang dilaksanakan serentak di seluruh negara pada Khamis.
Menurut Angah, dia yang dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh bulan telah diberi pelepasan lebih awal menerusi program itu selepas menjalani hukuman selama empat bulan di penjara wanita.
"Sebenarnya saya tiada niat dan sengaja mengambil dadah itu supaya dapat masuk penjara untuk bertemu dengan adik yang kini ditahan reman atas kesalahan di bawah Seksyen 39C ADB 1952," katanya ketika ditemui pemberita pada program PBSL di Dewan Mini Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini pada Khamis.
Bercerita lanjut, Angah berkata, niatnya hanya untuk melihat keadaan adiknya yang sudah lama tidak ditemuinya dan dimaklumkan sedang ditahan di penjara wanita di sini.
"Adik saya sudah lama berada di dalam penjara sepanjang saya tidak berada di sini kerana bekerja sebagai anggota beruniform di Semenanjung.
"Apabila ditanya kenapa saya dimasukkan di sini saya cuma boleh katakan kerana kasih sayang terhadap adik yang sudah lama tidak berjumpa.
"Adik saya kini sedang direman dan saya telah bertemu dengannya di dalam sepanjang saya menjalani hukuman dan pertemuan itu saya anggap berbaloi walaupun rekod saya sudah tercalar sebagai banduan," katanya.
Ditanya mengenai perancangannya selepas keluar daripada penjara, Angah berkata, dia akan memulakan kehidupan baharu dengan bekerja di sebuah kilang makanan sejuk beku.
"Tetapi untuk sambutan Hari Raya, saya akan pulang ke kampung untuk bertemu dengan keluarga dan menyambutnya bersama. Saya juga ingin meminta maaf dengan mereka atas tindakan saya ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!