JENGKA -Tinggal beberapa hari menjelang Aidilfitri, bekas vokalis Kumpulan Samudera, Mohamad Suhaimi Rapaad kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Felda Jengka 20 di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, Suhaimi, 38, bersama isterinya, Yuriza Hanim, 38 dan ibunya, Nadira Shaharudin,78, berada di Taiping, Perak atas urusan keluarga sejak sebulan lalu.
Menurutnya, kejadian itu disedari jirannya dan dia mengetahuinya selepas dihubungi rakannya kira-kira jam 8.30 malam.
"Saya dan isteri serta ibu sampai di sini kira-kira jam 5.30 pagi tadi, apa pun tak dapat diselamatkan termasuk gitar kesayangan.
"Terkedu juga dibuatnya bila melihat semuanya musnah, dengan tinggal berapa hari lagi nak raya, ini memang ujian buat kami sekeluarga," katanya yang pernah bergelar vokalis Kumpulan Samudera pada 2023.
Suhaimi berkata, buat sementara waktu dia sekeluarga akan menumpang di rumah adik-beradiknya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, jumlah kerugian dianggarkan hingga RM250,000.
"Namun saya bersyukur kerana tidak membabitkan sebarang nyawa dan kecederaan," katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata, urusan untuk rakaman lagu di studio mungkin sedikit terjejas ekoran kejadian itu.
"Saya baru ditawarkan sebagai vokalis Kumpulan Dinamik pada Januari lalu," katanya yang sempat merakamkan satu single bersama Samudera yang sebelum ini terkenal dengan lagu Salam Sejahtera.
Bagi mereka yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank, 164418100099 atas nama Mohamad Suhaimi Rapaad.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28