LIPIS - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long merayu dan meminta pengguna di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) Merapoh-Gua Musang tidak menjadikan Pahang sebagai negeri tempat membuang sampah.
Beliau berkata, masalah sampah sarap di bahu jalan laluan itu berterusan berlaku terutamanya ketika musim perayaan sekali gus menimbulkan keresahan kepada penduduk sekitar susulan pemandangan menyakitkan mata terbabit.
"Jangan jadikan negeri orang sebagai tempat pembuangan sampah. Kita manusia yang bertamadun bukannya haiwan yang tak boleh berfikir. Gunakan akal sebagai manusia waras dan matang.
"Lima tahun kita bersabar. Alih-alih kita pula yang disalahkan tak buat itu dan sediakan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menyelar sikap pengguna yang disifatkan tidak bertanggungjawab, beliau memberitahu pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) tidak praktikal dan mahal berikutan kes kecurian beberapa kali termasuk kabel elektrik di kawasan terbabit.
"Setiap kenderaan perlu membawa plastik sampah masing-masing. Masukkan sampah dalam plastik dan bila sampai destinasi buang sampah terbabit, bukan sukar pun," tegasnya.
Sementara itu, Kementerian Kerja Raya di platform X menegur sikap pengguna pengguna laluan berkenaan dengan mengingatkan mereka supaya membawa pulang sampah masing-masing.
"Bawa pulang sampah sendiri perlu diamalkan, jika anda tak jumpa tong sampah, jagalah kebersihan jalan raya dan alam sekitar khususnya. Bersama-sama kita jaga jalan kita.
"Kami juga faham, pengguna yang menggunakan laluan ini nak berehat sebab penat memandu jauh tetapi isu ini berlaku hampir saban tahun.
"Kalau anda selalu kata jalan raya di Malaysia penuh dengan lubang, perlu ditambah dengan sampah sarap pula ke?," ujar hantaran tersebut.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28