PORT DICKSON - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan hasil analisis kupang di perairan Port Dickson khususnya di Kampung Telok dan Sungai Sekawang di Pasir Panjang di sini, telah dicemari biotoksin dan tidak selamat dimakan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, ia berdasarkan keputusan yang dijalankan oleh makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur termasuk analisis air di kawasan perairan tersebut.
"Analisis yang telah dijalankan mendapati terdapat alga berbahaya iaitu spesies prorocentrum, alexandrium dan pseudonitzschia.
"Jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurang dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, buat masa ini orang ramai disarankan supaya tidak mengambil kerangan seperti lala, kerang dan lokan di Port Dickson.
Wan Muhammad Aznan berkata, pihaknya juga tidak membenarkan kerangan itu dijual dan dipasarkan dalam pasaran awam.
"Cuma kita membenarkan kawasan lain yang selamat untuk dijual, namun begitu pengusaha perlulah mendapat pengesahan daripada jabatan terlebih dahulu.
"Bagaimana pun makanan laut lain seperti ikan dan sotong di perairan berkenaan adalah selamat dimakan," katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, cuaca panas antara faktor yang menyebabkan alga toksin ini merebak dan membiak dengan cepat.
Justeru katanya, dalam tempoh 20 hari ini orang ramai dinasihatkan untuk tidak memakan kerangan.
"Hebahan umum akan dibuat selepas ia selamat untuk dimakan berdasarkan analisis yang dijalankan dalam tempoh tersebut," katanya.
Wan Muhammad Aznan berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan arahan supaya penternak tidak mengeluarkan hasil kerang-kerangan di samping pihak berkuasa yang bertanggungjawab akan membuat pemantauan di kawasan perairan di daerah ini termasuklah di pasaran awam.
"Setakat ini, terdapat 40 penternak kupang yang ada di Pasir Panjang namun hanya 19 berdaftar dengan jabatan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan terkini kes keracunan kupang, Wan Muhammad Aznan berkata, terdapat sembilan kes direkodkan dan terkini hanya seorang pesakit iaitu lelaki berusia 70-an masih mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU), manakala empat lagi dijangka bakal mendaftar keluar hari ini, bakinya empat sudah keluar pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, lapan individu terpaksa dimasukkan ke hospital dengan dua daripadanya dirawat di ICU selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar daerah ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28