Dewan Negara luluskan dua Rang Undang-Undang hari ini

Iklan
Tiong Sii ketika Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-undang Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024.

Rang Undang-undang bagi meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 Akta 127 diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 17 Ahli Dewan Negara mengambil bahagian membahaskannya.

Iklan
Iklan

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Huang Tiong Sii semasa sesi penggulungan berkata rang undang-undang ini mengandungi 30 fasal melibatkan 28 seksyen di bawah Akta 127 yang memberi keutamaan kepada hukuman, denda dan penalti melalui pewujudan denda minimum dan maksimum jika disabitkan di bawah akta ini.

"Selain itu, jumlah denda sedia ada akan dinaikkan sehingga RM10 juta khususnya bagi kesalahan yang melibatkan pencemaran air, pelepasan minyak, pelepasan buangan di perairan Malaysia serta perlupusan haram buangan berjadual.

Iklan

"Kenaikan penalti ini dapat memberi pengajaran kepada penjenayah alam sekitar sekali gus akan menyebabkan mana-mana individu yang ingin melakukan jenayah alam sekitar berfikir dua kali sebelum melakukannya,” katanya.

Tiong Sii berkata, selepas rang undang-undang ini diluluskan, kerajaan mempunyai tanggungjawab yang besar dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya justeru kementerian akan memastikan keupayaan sumber manusia dan kelengkapan logistik dipertingkatkan terutamanya dari segi keupayaan pasukan siasatan.

Iklan
Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempengerusikan Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

"Pada masa ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai seramai 1,132 pegawai penguat kuasa di seluruh Malaysia dan bilangan ini tidak mencukupi bagi menangani kes pencemaran alam sekitar yang semakin meningkat dan mencabar.

"Justeru, kementerian sedang meneliti keperluan pertambahan perjawatan bagi mewujudkan pejabat cawangan di setiap daerah di seluruh negara,” katanya.

Mengenai Rang Undang-undang Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024, Huang berkata Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 (Akta 458) tidak pernah dipinda sejak dikuatkuasakan 1 Mei 1958 bagi melesenkan dan mengawal selia juruukur tanah berlesen dan perkara berkaitan dengannya.

Beliau berkata, pindaan akta itu diperlukan memandangkan teknologi dalam bidang ukur geometrik masa kini telah berkembang pesat dan banyak istilah baharu diguna pakai secara ‘universal’.

"Pindaan rang undang-undang ini mengandungi 15 fasal dan pindaan dibuat bagi menambah baik dan memperkasa akta sedia ada agar selari dengan peredaran semasa,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28