KLANG - Kegiatan pengilangan arak yang beroperasi secara haram terbongkar susulan serbuan di sebuah premis kitar semula dan kimpalan besi dekat Batu 9, Cheras di sini pada Isnin.
Serbuan dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu mendapati kegiatan tersebut beroperasi lebih enam bulan.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pemeriksaan mendapati terdapat aktiviti pembotolan minuman keras di premis berkenaan.
"Turut ditemukan pelbagai botol serta kotak pembungkusan minuman keras dan pelbagai jenis minuman keras yang disyaki tidak berkastam serta mempunyai label setem cukai yang disyaki palsu.
"Sitaan melibatkan 1,753 liter minuman keras dengan anggaran nilai dan duti cukai berjumlah RM165,000," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pangkalan Marin Kastam, Pelabuhan Klang pada Khamis.
Katanya, semakan mendapati premis berkenaan tidak berlesen di bawah Akta Eksais 1976.
"Serbuan dijalankan turut menahan dua pekerja kilang warga tempatan masing-masing berumur 54 tahun dan 64 tahun untuk siasatan lanjut.
"Kuantiti dagangan dianggarkan sebanyak 1,753 liter minuman keras serta membabitkan nilai berjumlah RM40,500 dan jumlah duti serta cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM124,500," katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati minuman keras tersebut dikilangkan untuk pasaran tempatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 3(1) Akta Membaharui Undang-undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28