SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menempelak kenyataan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mendakwa pemimpin parti itu mengalami 'sindrom bisu'.
Malah Mohd Razlan menyifatkan, kenyataan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu sekadar cakap-cakap politik untuk dilihat kembali relevan dalam arena politik tanah air.
"Sebenarnya Tajuddin wajar bertanya kepada diri sendiri, apa yang beliau lakukan sebelum dan selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) melainkan mengkritik kepimpinan parti tanpa berbuat apa-apa untuk mengembalikan sokongan rakyat.
"Tidak keterlaluan jika dikatakan sikap angkuh dan sombongnya ketika menjadi Pengerusi Prasarana antara sebab rakyat marah ketika itu, sehingga tempiasnya terpalit kepada UMNO.
Sebelum ini media melaporkan, bekas ahli MKT itu menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan UMNO dalam perjuangannya membela kepentingan orang Melayu dan umat Islam.
Tajuddin turut mendakwa, suara parti itu semakin kecil dan hampir tidak kedengaran dalam hal-hal sensitiviti terutama yang dibangkitkan pemimpin dalam pentadbiran kerajaan.
Dalam pada itu Mohd Razlan turut mengingatkan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu bahawa UMNO adalah parti yang bersuara lantang melibatkan isu stoking tertera kalimah ALLAH berbanding parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Selain itu katanya, kejayaan pelaksanaan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 juga adalah hasil cetusan dan pemikiran dari UMNO yang serius memperjuangkan ekonomi bangsa.
"KEB ini merupakan kesinambungan yang pernah dianjurkan terdahulu dan UMNO telah menggariskan gagasan besar untuk negara terutamanya ekonomi Bumiputera.
"Malah sikap lantang pemimpin-pemimpin terserlah apabila secara terang-terangan mengkritik secara membina menteri berkaitan isu ekonomi serta harga barang tanpa rasa takut dan berselindung.
"Jadi janganlah bersuara berdegar-degar semata-mata untuk kembali relevan sedangkan selama ini berada dalam 'sindrom bisu' ketika presiden dan kepimpinan UMNO sibuk bekerja," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28