Serangan Israel ke atas petugas WCK bangkitkan kemarahan dunia

Iklan
Tujuh pekerja badan amal makanan antarabangsa World Central Kitchen (WCK) terbunuh semasa serangan udara semalaman di Semenanjung Gaza. Foto Xinhua

ISTANBUL - Israel telah menyebabkan kematian lebih ramai petugas bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza dalam tempoh 30 tahun lepas berbanding mereka yang maut di negara lain di seluruh dunia dalam tempoh sama, menurut laporan Aid Worker Security Database.

Menurut laporan itu sekurang-kurangnya 203 pekerja bantuan kemanusiaan terbunuh sejak serangan Israel 7 Oktober tahun lepas.

Iklan
Iklan

Agensi Anadolu melaporkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata keadaan di Gaza adalah tidak munasabah.

Minggu lepas, Guterres menzahirkan kebimbangan terhadap petugas bantuan kemanusiaan PBB yang berterusan dihalang daripada menjalankan tugas mereka di Semenanjung Gaza yang dikepung, terutamanya di bahagian utara.

Iklan

Pada Selasa, badan kebajikan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) World Central Kitchen mengesahkan tujuh daripada petugas bantuannya terkorban dalam satu serangan Israel pada Isnin.

Petugas berkenaan adalah terdiri daripada warga Australia, Poland, United Kingdom, Palestin termasuk mereka yang memegang dwikewarganegaraan AS-Kanada.

Iklan
Pengeboman Israel membunuh tujuh kakitangan badan amal makanan yang berpangkalan di AS, World Central Kitchen pada 1 April. Foto AFP/WCK

PBB berkata, ia telah menggantung pergerakan petugasnya pada sebelah malam sekurang-kurangnya 48 jam berikutan serangan itu.

Jurucakap Kementerian Luar Jerman, Sebastian Fischer berkata, Berlin mengharapkan Kerajaan Israel mengawasi operasinya supaya orang awam mendapat perlindungan dengan lebih baik dan ini sudah tentunya merangkumi petugas bantuan kemanusiaan.

"Kerajaan Israel perlu menyiasat insiden ini dengan segera dan menyeluruh,” kata Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock dalam hantarannya di halaman X (Twitter).

Kanada telah mengutuk serangan itu dan meminta satu siasatan dilakukan.

"Saya rasa ngeri mendengar serangan Israel yang meragut nyawa tujuh pekerja World Central Kitchen di Gaza, termasuk seorang rakyat Kanada, kata Menteri Luar Kanada Melanie Joly dalam hantarannya di laman X.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese meminta Israel bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Äustralia mengharapkan tanggungjawab penuh untuk kematian pekerja bantuan kemanusiaan itu, yang tidak boleh diterima,” katanya.

AS menzahirkan kesedihan dan menggesa Israel untuk menyiasat dengan segera. Jurucakap Keselamatan Nasional Rumah Putih Adrienne Watson berkata petugas bantuan kemanusiaan itu perlu dilindungi kerana mereka menyampaikan bantuan yang amat diperlukan.

Poland menuntut penjelasan dari Israel terhadap serangan maut ke atas petugas bantuan itu termasuk seorang rakyat Poland.

Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski menghubungi Duta Israel dan meminta penjelasan, menurut Timbalan Menteri Luarnya, Andrzej Szejna.

Beliau mengingatkan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang diterima pakai bulan lepas menggesa satu gencatan senjata segera dalam bulan Ramadan dan menghapuskan segala sekatan dalam penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza.

Perdana Menteri British, Rishi Sunak berkata, beliau telah memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa terdapat banyak kematian orang awam di Gaza.

"Kami meminta Israel untuk menyiasat apa yang berlaku kerana jelas ada soalan yang perlu dijawab,” kata Sunak. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28