SEREMBAN - Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Senawang Paroi berhampiran Taman Rashidah Utama dekat sini pada Khamis.
Ketua Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Azis, 48, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.11 petang itu, mangsa Ma Kamal Masri, 48 yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.
"Sejurus menerima maklumat, seramai lapan anggota dari Balai Senawang telah ke lokasi dan sampai lima minit kemudiannya.
"Sebaik sampai, didapati keadaan kereta itu remuk teruk dan mangsa dilaporkan tersepit," katanya kepada pemberita ditemui di lokasi pada Khamis.
Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa telah dilakukan, namun dia telah disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din memberitahu kemalangan berlaku masih dalam siasatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!