Petron, PDRM, JPJ bersama galakkan pemanduan selamat sempena Aidilfitri

Iklan
Mohd Padzli (tiga dari kanan) memakaikan topi keledar kanak-kanak pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Petron Malaysia di Petron MRR2 Safari Cheras pada Khamis.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menyedari hakikat kadar kematian akibat kemalangan jalan raya terus meningkat di Malaysia, Petron Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) mengadakan kempen keselamatan jalan raya di stesen minyak terpilih sempena Aidilfitri.

Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia, Shaliza Mohd Sidek berkata, kempen tersebut berlangsung serentak di Petron MRR2 Safari serta Petron Bukit Lanjan dan Petron Sungai Besi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kempen tersebut memfokuskan terhadap keselamatan kanak-kanak iaitu pemakaian tali pinggang keledar dan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak serta topi keledar.

"Kempen ini bertujuan berkongsi maklumat dan pengajaran untuk menggalakkan pemanduan selamat.

Iklan

Gimik perasmian disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain.

Mohd Padzli (dua dari kanan) menyerahkan kerusi keselamatan kanak-kanak pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Petron Malaysia di Petron MRR2 Safari Cheras pada Khamis.

Kempen tersebut turut mendapat sokongan daripada rakan rakan strategik Applecrumby, Nesq, Farm Fresh dan snskidz.

Iklan

Rakan penaja menyumbang topi keledar, kerusi keselamatan kanak-kanak, tepung formula serta kopi sebagai sokongan terhadap kempen dijalankan.

Pada masa sama, Petron turut menyumbang satu liter minyak hitam motosikal kepada pelanggan di stesen minyak berkenaan.

Shaliza berharap program dilaksanakan dapat memberikan perkongsian ilmu bermanfaat kepada orang awam.

"Kita sering mengambil mudah tentang keselamatan kanak-kanak dan berharap kesedaran mengenainya dapat ditingkatkan.

"Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak serta pemakaian topi keledar kanak-kanak yang betul dapat membantu mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya terutama pada musim perayaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Padzli dalam ucapannya berkata, PDRM menyokong usaha Petron dan rakan strategik membantu meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.

Katanya, objektif tersebut sejajar dengan pelaksanaan Op Selamat 22 PDRM sempena sambutan Aidilfitri bermula 8 April hingga 13 April 2024.

"Menjadi kelaziman jalan utama akan mengalami peningkatan kenderaan secara mendadak apabila orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung pada musim cuti perayaan.

"Polis akan ditugaskan di beberapa lokasi tumpuan dengan memberi fokus kepada enam kesalahan iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu," katanya.

Ujarnya, menerusi kempen keselamatan, Kontinjen Selangor turut menasihati pemandu merancang perjalanan sebelum membuat pergerakan serta mendapatkan rehat mencukupi.

"Buat penyelenggaraan awal kenderaan sebelum mulakan perjalanan supaya pemanduan lancar serta tidak terganggu

"Selain itu pengguna jalan raya diingatkan memandu cermat dan berhati-hati serta mengikut peraturan ditetapkan.

"Beri perhatian penuh kepada lalu lintas dan waspada pada persekitaran serta berhenti rehat jika letih atau mengantuk," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28