Gempa bumi Taiwan: 41 masih belum ditemui di Taman Negara Taroko

Iklan
Sejumlah 2,498 kerosakan telah dilaporkan sejak pagi Rabu dengan 1,140 daripadanya datang dari Taipei. Foto AFP

TAIPEI - Empat puluh satu orang yang berada di Taman Negara Taroko masih lagi belum ditemukan dalam tempoh lebih 29 jam selepas gempa bumi pada mangitud 7.2 melanda timur Taiwan, pagi Rabu.

Setakat pukul 1.10 tengah hari Khamis, pasukan penyelamat masih lagi mencari tiga bas membawa 30 pekerja Silks Place Taroko Hotel selain daripada enam pengembara berjalan kaki, tiga orang di Hotel Taroko Village dan dua pekerja pembinaan menurut Pusat Operasi Kecemasan Taiwan, lapor Central News Agency (CNA).

Iklan
Iklan

Sementara itu, sekumpulan 24 pelancong dan lima pekerja Silks Place Taroko Hotel kini ditempatkan di dalam sebuah pondok batu berhampiran"Tunnel of Nine Turn,” kata pusat itu.

Menurut pusat itu lagi kerja-kerja membersihkan serpihan dari Lebuh Raya Wilayah No.8, satu-satunya laluan untuk keluar masuk Taman Negara Taroko, sebuah destinasi popular pelancongan masih lagi berjalan.

Iklan

Pusat itu juga berkata, kerosakan pada jalan itu menyebabkan 615 orang terkandas di Silks Place Taroko Hotel dan Pusat Kegiatan Belia Tienhsiang berhampiran.

Ia juga berkata sejumlah 2,498 kerosakan telah dilaporkan sejak pagi Rabu dengan 1,140 daripadanya datang dari Taipei.

Iklan

Perangkaan dari ibu negara itu diikuti 497 di New Taipei dan 366 di Daerah Hualien.

Daripada 372,947 isi rumah yang tinggal tanpa bekalan elektrik di Daerah Hualien, bekalan kepada 337 isi rumah pulih pada pukul 10.10 pagi, menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MOEA) pada pagi Khamis.

MOEA berkata 49,560 isi rumah masih lagi tiada bekalan air, termasuk 9,914 di Daerah Hualien sementara tekanan air direndahkan untuk 39,646 isi rumah di Daeah Yilan.

Kementerian itu berkata perkhidmatan utiliti itu dijangka kembali normal sebelum Jumaat.

Daripada 80 menara sel rosak akibat gempa bumi itu, 30 daripadanya telah dibaiki dengan selebihnya dijangka beroperasi kembali menjelang Jumaat, menurut Suruhanjaya Komunikasi Nasional. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28