MCMC rakam keterangan pemilik akaun muat naik mesej fitnah berkait tilawah al-Quran

Iklan
Fahmi menyantuni kakitangan penguatkuasaan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan merakam keterangan semua pemilik akaun yang memuat naik hantaran tersusun palsu di media sosial kononnya Malaysia tidak lagi menganjurkan tilawah al-Quran.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, MCMC telah mengenal pasti individu yang terlibat dan tindakan pengesanan terhadap mereka sedang giat dijalankan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik mesej terancang seumpama itu bukannya kali pertama berlaku malah dikesan sejak Februari lagi.

"Peringatan kepada semua, jangan komen atau buat sebarang kenyataan yang menyentuh isu 3R (perkauman, agama dan raja), berhati-hati kerana kita telah diminta bertindak lebih tegas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Agensi Penguatkuasa anjuran MCMC di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dakwaan di akaun Facebook dan X kononnya Malaysia tidak lagi menganjurkan tilawah al-Quran sebaliknya hanya fokus kepada penganjuran konsert tular sejak beberapa hari lepas.

Iklan

Ia bagaimanapun dinafikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan semalam yang memaklumkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan telah ditetapkan pada 23 hingga 28 Mei ini di Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pula akan berlangsung pada 5 hingga 12 Oktober depan.

Mengulas mengenai majlis hari ini, Fahmi berkata, ia merupakan satu platform terbaik dalam memperkasa hubungan antara MCMC dan agensi penguatkuasa sekali gus mengukuhkan usaha pelaksanaan undang-undang termasuk berkaitan Akta Komunikasi dan Multimedia. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28