KUALA LUMPUR - Enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu mengosongkan kerusi mereka biarpun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan perlembagaan parti itu.
Menurut Ketua UMNO Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, tujuan asal Akta Antilompat Parti dilaksanakan bertujuan mengelak berlakunya lagi cubaan menjatuhkan kerajaan seperti Langkah Sheraton pada 2020.
Beliau menegaskan, perkara itu merupakan asas utama akta tersebut dicadangkan dan dibentangkan di Parlimen pada 2022.
"Saya salah seorang anggota Jawatankuasa Akta Antilompat Parti di Parlimen ketika itu dan tujuan akta ini digubal adalah untuk mengelak berlaku lagi gerakan seperti Langkah Sheraton.
"Jadi tidak ada keperluan untuk enam ahli Parlimen tersebut mengosongkan kerusi kerana mereka tidak melanggar Akta Antilompat Parti. Mereka beri sokongan bukan untuk menjatuhkan kerajaan sebaliknya mengukuhkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Khamis.
Selain itu tegas Mohamed Nazri, Akta Antilompat Parti juga diadakan bertujuan untuk mengelak dari ahli Parlimen meraih keuntungan dari kerusi yang dimenangi.
Katanya, jika tidak kerana akta ini ahli Parlimen boleh memperdagangkan kerusi Parlimen mereka untuk keuntungan peribadi.
"Dengan adanya akta ini mana-mana ahli Parlimen tidak lagi boleh meraih keuntungan dengan menawarkan sekian-sekian harga untuk mereka menyatakan sokongan.
"Jadi akta yang ada ini telah menghalang mana-mana ahli Parlimen untuk mendapat keuntungan dari kerusi yang dimenanginya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat menegaskan, isu memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebahagian dari kebebasan bersuara dan merupakan hak asasi Parlimen yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Mereka bebas untuk menyokong atau mengundi mana-mana rang undang-undang yang dibentangkan oleh kerajaan dan tidak boleh disekat sepertimana yang dikehendaki oleh Bersatu menerusi tindakan meminda perlembagaan parti mereka baru-baru ini," jelas beliau.
Beliau menjelaskan, Akta Antilompat Parti juga digubal untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan agar tidak perlu diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana ada pihak yang sengaja mengosongkan kerusi.
"Adalah sangat tidak bertanggungjawab bila Bersatu mahu enam PRK diadakan semata-mata kerana dendam dan marah terhadap enam Ahli Parlimen tersebut.
"Mereka membuat keputusan menyokong PMX demi untuk kepentingan pengundi mereka tanpa meninggalkan parti, jadi kenapa Bersatu begitu marah?" katanya.
Beliau juga menegaskan kuasa untuk menentukan sama ada enam Ahli Parlimen itu perlu mengosongkan kerusi atau tidak terletak di tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Mohamed Nazri menasihatkan Johari agar meneliti setiap ucapan yang dibuat ketika sesi libat urus dan mesyuarat yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Akta Antilompat Parti. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28