SURAT layang yang menghentam pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menjadi wake-up call kepada badan induk bola sepak negara itu untuk memperkemaskan semula tadbir urus pada masa depan.
Malah, tegas penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa, tindakan pengurusan FAM yang tidak menafikan keseluruhan dakwaan dalam surat tersebut juga membuktikan terdapat beberapa elemen yang memerlukan kajian semula.
Jelasnya, teguran surat yang tular itu juga seharusnya menyedarkan FAM yang selama ini mungkin terlalu selesa hingga terlepas pandang masalah dalam tadbir urus mereka.
"Ini adalah wake up call untuk FAM melihat semula tadbir urus mereka dalam menguruskan dana, polisi dan prosedur dalam aspek penganjuran bola sepak di Malaysia secara keseluruhan, bukan sahaja Liga Super tetapi juga Liga M3, pembangunan sukan dan di AMD.
"Surat layang ini mempunyai sumber tersendiri, sebab mungkin penulis pernah bekerja dalam sistem FAM dan mereka tahu sedikit sebanyak tadbir urus badan induk tersebut.
"Tuduhan itu serius dan seperti terdapat sesuatu tidak diuruskan FAM dengan baik.
"Malah, FAM sendiri tidak menafikan keseluruhan perkara terkandung dalam surat layang itu adalah palsu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Sebelum ini tular surat layang yang dihantar melalui e-mel kepada media mengenai dakwaan salah guna kuasa dalam pengurusan FAM melibatkan beberapa perkara.
Perkembangan itu menyaksikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam Kongres FAM ke-60, Isnin lalu tampil menjawab tohmahan tersebut.
Malah, Hamidin juga menegaskan FAM sedia disiasat dan memberikan kerjasama dalam memberikan maklumat mengenai dakwaan-dakwaan tersebut.
Pada masa sama Mohd Sadek berkata, pencapaian prestasi Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon juga perlu dipastikan konsisten dengan keputusan positif.
"Ya, sememangnya terdapat halangan memenuhi permintaan Pan-gon, namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk FAM tidak berusaha lebih baik selepas kita memilih beliau untuk memulih semula reputasi pasukan negara.
"FAM juga harus ingat bahawa Indonesia dan Singapura kini sedang konsisten membina semula pasukan dan impaknya terbukti dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
"Malah, Thailand dan Vietnam yang sudah ke depan pun dalam proses memperbaiki keupayaan pasukan masing-masing apabila prestasi merudum,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28