Banduan gembira diberi pelepasan awal rai Syawal bersama keluarga

Iklan
Din memeluk dua anaknya yang hadir menyambutnya keluar dari Penjara Pusat Kota Kinabalu menerusi program PBSL di Dewan Mini Penjara Pusat Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Walaupun hanya tiga bulan tempoh menjalani hukuman penjara atas kesalahan mengambil dadah tetapi itu sudah cukup memberi pengajaran kepada seorang penghuni Penjara Pusat Kota Kinabalu yang diberi pelepasan lebih awal menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) pada Khamis.

Din (bukan nama sebenar) berusia 40 tahun antara 61 penghuni penjara pusat diberi pelepasan awal menerusi PBSL sempena sambutan hari raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Iklan
Iklan

Menurut Din yang juga bapa kepada dua anak, dia bersyukur kerana terpilih untuk mendapat pelepasan awal selepas tiga bulan terpisah dari dunia luar.

"Saya bersyukur juga kerana dapatlah kami beraya bersama-sama dan saya tahu mereka tidak sabar menyambutnya sehingga membelikan saya sepasang baju raya untuk Syawal nanti.

Iklan

"Sudah tentu yang saya rindukan adalah anak-anak dan isteri.

"Jadi peluang diberi pelepasan awal ini saya gunakan sebaik-baiknya dan menjelang sambutan hari raya, saya akan luangkan masa bersama-sama mereka untuk mengemas rumah serta membuat persiapan Hari Raya," katanya ketika ditemui pemberita pada program PBSL di Dewan Mini Penjara Pusat di sini pada Khamis.

Iklan
Din ketika diiringi isterinya ketika mengambil sijil pelepasan keluar daripada Penjara Pusat menerusi program PBSL di Dewan Mini Penjara Pusat Kota Kinabalu.

Diminta berkongsi bagaimana terjebak dengan dadah, Din memaklumkan, ia adalah kerana pengaruh daripada rakannya sebelum ditangkap dalam satu operasi pada November tahun lalu.

"Walaupun terpisah selama tiga bulan dengan keluarga dan ini merupakan kesalahan pertama tetapi saya ambil ini sebagai pengajaran untuk tidak terjebak lagi dengan dadah.

"Saya sudah serik dan kasihan pada anak-anak serta isteri.

"Mujur selama tiga bulan ini keluarga saya banyak membantu termasuk menyara anak dan isteri," katanya.

Sementara itu, dalam teks ucapan Pengarah Penjara Sabah dan Labuan, Nora Musa yang dibacakan oleh wakilnya berkata, program PBSL yang dilaksanakan serentak di seluruh negara melibatkan seramai 142 Orang Bebas Berlesen (OBB) bagi di Sabah.

"Untuk penjara pusat seramai 61 OBB dan empat OBB dari Penjara Wanita Kota Kinabalu manakala selebihnya dari Penjara Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Pusat Koreksional Labuan dan Sekolah Henry Gurney Keningau," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28