PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp berpuas hati dan memuji impak pemain tengah, Alexis Mac Allister yang menjadi pencetus kemenangan 3-1 ke atas Sheffield United pada Jumaat.
Pemenang Piala Dunia dari Argentina itu melepaskan rembatan 'roket' dari penjuru kotak penalti di babak kedua bagi melegakan penyokong di Anfield.
The Reds sebelum itu cemas seketika selepas gol awal Darwin Nunez pada minit ke-17 disamakan jaringan sendiri Conor Bradley m-58.
Bagaimanapun, jaringan Mac Allister m-76 membangkitkan keghairahan tuan rumah membolosi gawang pelawat dan Liverpool akhirnya mengesahkan kemenangan selesa menerusi Cody Gakpo pada minit akhir perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Liverpool merampas status pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan dua mata di depan Arsenal.
Arsenal yang kini mengumpul 68 mata sebelum itu menghuni tangga teratas EPL selepas menundukkan Luton Town 2-0 di Emirates pada Khamis.
Penyandang juara, Manchester City pula di tangga ketiga mengumpul 67 mata dengan berbaki lapan perlawanan.
"Macca (Mac Allister) adalah pemain paling penting dalam pasukan. Dia tidak pernah berada di posisi yang tidak sepatutnya.
"Dia bertahan dengan baik dan menyerang dengan berkesan. Impaknya pada malam ini harus diberikan pujian," ujar Klopp.
Mengulas rembatan padu Mac Allister yang muncul pemain tengah Liverpool pertama menjaringkan gol atau mencipta bantuan jaringan dalam enam perlawanan berturut-turut sejak Steven Gerrard pada 2013, Klopp berkata:"Ia salah satu gol kegemaran saya."
Liverpool yang mengejar treble sudah pun menjuarai Piala Liga dan berdepan Atalanta di suku akhir Liga Juara-Juara ketika mereka mengharapkan hadiah perpisahan bermakna buat pengendali dari Jerman itu pada musim terakhirnya di Anfield.
The Reds berkunjung ke Old Trafford Ahad ini bagi pertemuan menentang Manchester United dalam aksi liga yang penting bagi kedua-dua musuh tradisi itu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28