Segera bayar zakat fitrah

Iklan
SEGERA bayar zakat fitrah mengikut waktu yang ditentukan. -Foto: 123rf

Elak bertangguh dan culas tunaikannya, begitu besar ancaman buat kelompok berkenaan

RAMADAN begitu sinonim dengan kewajipan zakat fitrah. Saat itulah kita akan melihat keberadaan amil zakat di mana-mana.

Kelibat mereka bukan sekadar dilihat di surau mahupun masjid, tetapi juga di kawasan pejabat. Bahkan juga di pusat beli-belah.

Iklan
Iklan

Amat janggal rasanya jika ada yang masih lagi beralasan terlupa untuk menunaikan kewajipan tersebut.

Apatah lagi sekarang zaman digital yang mana hampir semua transaksi boleh boleh dilakukan tanpa tunai. Ia termasuklah dalam urusan pembayaran zakat fitrah.

Iklan

Walaupun saban tahun kita membayarnya, terdapat segelintir orang kurang jelas mengapa setiap umat Islam wajib menunaikannya termasuklah dikenakan terhadap bayi yang baru melihat dunia beberapa saat sebelum Ramadan berakhir dan hidup ketika Syawal.

Apakah hikmah di sebalik pensyariatan zakat fitrah itu? Bagaimana jika seseorang tidak mampu membayarnya kerana masalah kewangan?

Iklan

Hindari saat akhir

Sinar Islam Plus mewawancara Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mushaddad Hasbullah.

DR MUSHADDAD

Tidak seperti zakat harta yang dibayar berdasarkan ketetapan nisab dan haul, beliau menjelaskan, zakat fitrah merupakan zakat badan yang wajib ke atas setiap Muslim berkemampuan yang hidup pada sebahagian Ramadan dan Syawal.

"Meskipun harus ditunaikan sepanjang Ramadan, tetapi ia afdal dikerjakan sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

"Tidak perlulah kita menunggu hingga saat-saat akhir. Bukan apa, bimbang jika kita terlalai, terlupa dan sebagainya menyebabkan kewajipan yang satu itu tidak dapat ditunaikan pada waktu ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

"Namun, ia hanyalah pandangan dari sudut afdaliyah (utama) sahaja, bukan melibatkan isu hukum seperti makruh, haram dan sebagainya,” ungkapnya.

ZAKAT fitrah wajib ke atas setiap Muslim berkemampuan iaitu mereka mempunyai harta melebihi keperluan untuk makan bagi dirinya dan tanggungannya pada siang dan malam raya, yang hidup pada sebahagian Ramadan dan Syawal. -Foto: 123rf

Barangkali ramai kurang sedar betapa besarnya hikmah yang tersirat.

Ketahuilah bahawa zakat fitrah sebenarnya ialah penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji dan sia-sia.

Walaupun bayi yang baru dilahirkan dikenakan zakat fitrah, tetapi tidak diwajibkan berpuasa, namun jelas Mushaddad, ia sebenarnya lambang bahawa dirinya telah pun mengecapi kehidupan pada bulan Ramadan.

Tak mampu bayar zakat fitrah

Menyambung hujah, Mushaddad kemudian menyentuh tentang individu tidak mampu membayar zakat fitrah kerana kegetiran ekonomi dihadapi.

Ujar beliau, kemampuan yang dimaksudkan adalah apabila seseorang itu mempunyai lebihan harta untuk makan bagi dirinya dan tanggungannya pada waktu yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat iaitu pada siang dan malam Hari Raya Aidilfitri.

Harta yang dihitung itu pula ialah harta yang menjadi kegunaan seharian, terangnya.

"Jika orang tidak berkemampuan hendak makan pun tidak cukup, bagaimana dirinya hendak mengeluarkan zakat fitrah?

"Justeru, kelompok ini tidak dipertanggungjawabkan untuk membayar zakat fitrah. Andai kata dia sudah mampu kelak, tanggungjawab zakat fitrah pada dua tahun dahulu (saat tidak mampu) itu, tidak diwajibkan ke atas perkara yang telah lepas.

ZAKAT fitrah tidak ditaklifkan ke atas orang yang tidak mampu dan tidak menjadi bebanan buat mereka. -Foto: 123rf

Seandainya seseorang mempunyai lebihan harta sekadar cukup untuk zakat fitrah dirinya, Mushaddad berkata, maka individu berkenaan perlu menunaikan kewajipan berkenaan untuk tubuhnya sendiri.

"Begitu jugalah jika dia hanya mampu membayar sebahagiannya, lunaskanlah. Jika sekadar mampu menampung beberapa insan di bawah tanggungannya, bayarlah mengikut susunan keutamaan iaitu isteri, anak-anaknya, bapanya, ibunya dan seterusnya,” katanya.

Bagi mereka yang biasanya makan beras tempatan, tetapi kini terpaksa bertukar kepada beras import disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan, bolehkah individu berkenaan membayar zakat fitrah mengikut kadar paling minimum?

Menjawab persoalan itu, beliau merujuk kepada hadis diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri RA yang bermaksud: "Kami memberi zakat fitrah pada zaman Nabi Muhammad SAW satu gantang daripada makanan atau satu gantang daripada kurma atau satu gantang daripada kismis.” (Hadis Riwayat Muttafaqun ‘alaih)

Melihat ungkapan tersebut, ujar Mushaddad, jelas menunjukkan bahawa mereka boleh memilih bayaran zakat fitrah mengikut makanan rujinya.

"Berdasarkan hadis itu juga, jika seseorang memang menjadikan beras yang mahal sebagai makanan asasinya, maka sunat baginya membayar zakat fitrah berdasarkan harga beras yang menjadi makanan asasinya itu.

"Namun begitu, andai seseorang mampu bayar dengan harga yang lebih baik, manfaatnya lebih besar,” jelasnya.

ANEKDOT

Ancaman culas bayar zakat fitrah

ZAKAT fitrah sebenarnya ialah penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji dan sia-sia. -Foto: Canva

- Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq memerangi golongan tidak membayar zakat.

- Secara asasnya, zakat merupakan Rukun Islam. Ia terbahagi kepada zakat fitrah atau badan (terhad pada masa dan setiap individu Muslim) dan zakat harta (emas, perak, perniagaan, hasil tanaman dan lain-lain).

- Hukum menunaikannya adalah fardu dilaksanakan yang mana jika kewajipan itu ditinggalkan, ia adalah satu dosa.

- Maksud sebenar wajib adalah dikurniakan pahala bagi orang yang melaksanakan dan diberi dosa atau seksaan kepada mereka yang meninggalkan apa yang telah disyariatkan.

- ALLAH SWT berfirman: "...Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya di jalan ALLAH, maka beritahulah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) azab yang pedih.” (Surah at-Taubah, ayat 34)

***Sumber: Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Mushaddad Hasbullah